Monday, 25 February 2013

5 Perkara yang Meruntuhkan Akhlak Manusia

Sifat-sifat yang meruntuhkan kemuliaan akhlak:-

1. Dengki
Islam melarang keras sifat dengki-mendengki antara satu sama lain. Dengki adalah satu penyakit jiwa yang tercela. Perasaan ini timbul disebabkan kegelisahan memandang kelebihan yang ada pada orang lain. Dengan kata lain, perasaan dengki timbul kerana orang lain memiliki kelebihan yang tidak ada pada diri.

2. Menipu
Menipu juga amat dibenci oleh agama. Menipu tidak dibenarkan kerana ia boleh merosakkan perhubungan baiksesama manusia. Sebenarnya, dalam Islamtidak ada tempat sama sekali bagi orang yang menipu.

3. Membenci
Perasaan benci lahir bertujuan untuk menghina orang lain ekoran daripada perasaan angkuh dan sombong. Perbuatan ini amat keji sekali kerana melenyapkan perasaan kasih sayangantara satu sama lain. Sedangkan perasaan kasih sayang dan mahabbah wajib dipelihara, dipupuk dan dibelai kerana menjunjung perintah Allah. Sehubungan dengan itu Nabi s.a.w. menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud:

"Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan tidak sempurna iman kamu sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kepadamu satu perkara yang apabila kamu lakukan nescaya kamu berkasih-kasihan, iaitu ucapkanlah salam antara kamu apabila bersua." 

4. Memalingkan muka
Islam melarang umatnya memalingkan muka apabila bersua, disapa atau ditegur oleh saudara Islamnya. Sifat ini dilarang kerana perbuatan ini menunjukkan rasa benci atau tidak senang hati kepada orang yang ditemui atau yang menyapa. Perbuatan ini ditegur oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud:

"Tidak halal (haram) bagi seseorang Muslim tidak menegur sapa saudaranya lebih daripada 3 hari, bila keduanya bersua muka, maka seorang itu berpaling dan yang seorang lagi pula membelakangi, dan orang yang lebih baik daripada keduanya ialah yang memulakan dengan ucapan salam."

5. Menjual atas penjualan saudaranya
Perbuatan ini amat dilarang kerana akibatnya membawa kepada perbalahan sesama Muslim. Contohnya, seperti dua orang sudah menandatangani perjanjian jual beli, lalu datang orang ketiga menawarkan harga yang lebih rendah menyebabkan perjanjian jual beli terpaksa dibatalkan. Perbuatan seperti ini dilarang kerana merosakkan jualan orang lain. Termasuk juga dalam contoh ini, dilarang orang yang menawarkan barangannya kepada seseorang lain padahal waktu itu ada orang yang sedang menawarkan untuk membelinya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:

"Janganlah seseorang menjual atas penjualan saudaranya dan janganlah ia meminang atas pinangan saudaranya kecuali jika dia izinkannya."

Sumber: Syiar Islam, 11 Jun 2004/ 22 Rabiul Akhir 1425

---------------------------------------------------------------------------
Kata hamba...

Perkara yang paling hamba sakit hati tentang berdengki ni adalah dalam dunia perniagaan. Hamba kesal sekali bila seorang Melayu Islam membuka perniagaan makanan misalnya, kalau laris sebab makanannya sedap kerap menjadi mangsa dengki mereka yang jualannya kurang laris atau semata-mata dengki melihat orang sedang cuba untuk berjaya. Kenapa perlu dengki? Akhirnya seorang pun tak maju. Lagi pula sifat dengki khianat yang memang berdosa, ditambah pula menggunakan sihir dan bomoh yang jelas-jelas syirik. Nauzubillah...

Syaitan memang akan sentiasa membisikkan perkara yang buruk. Apabila melihat orang berjaya dalam perniagaan, ambillah secara positif. Kalau makanan yang dia jual sedap, kita juallah minuman yang sedap. Kalau tak pun, juallah suratkhabar untuk dibaca, atau asam dan jeruk yang boleh dimakan selepas selesai makan hidangan utama. Jual buah-buahan ke. Ini tidak, sudahlah meranapkan perniagaan saudara itu, kita buka pula gerai yang jual makanan sama seperti kawan tadi tu. Nak bersaing tapi tanpa persaingan. Hm.

Semoga pembaca mendapat manfaat dari pembacaan hari ini. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri hamba sendiri.



Thursday, 21 February 2013

Malu yang dituntut dalam Islam

Malu adalah sifat semulajadi manusia. Ini menjadikan manusia lebih mulia dan tinggi darjatnya daripada sekalian makhluk. Dan sebaliknya, apabila seseorang itu tidak punyai perasaan malu, maka ia sudah merendahkan nilai akal yang dikurniakan Allah kepadanya, dan ini secara tidak langsung menjatuhkan darjatnya.

Seseorang yang tidak memiliki perasaan malu biasanya akan cenderung melakukan maksiat. Tanpa perasaan malu, setiap kehinaan yang timbul daripada kemaksiatan tidak lagi dipandang hina. Malah, dengan melakukan kerja-kerja mungkar, mereka menganggapnya sebagai satu gaya hidup moden dan bangga pula bila melakukannya.

Dengan memiliki perasaan malulah manusia menutup auratnya serta berkelakuan sopan. Sifat malu yang dipupuk dalam diri seseorang itu dapat membezakan antara manusia dengan haiwan, antara orang yang baik dengan jahat, dan antara orang beriman dengan yang mungkar.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya sifat malu dan iman adalah satu wadah, bila yang satu dicabut, maka yang satu lagi ikut tercabut."

Sifat malu dan keimanan mempunyai ikatan rantai keIslaman yang kukuh. Bila seseorang itu mencabut perasaan malu dalam dirinya secara tidak langsung ia turut cuba memutuskan ikatan Islam dalam jiwanya.

Adalah suatu hal yang semulajadi bila seseorang itu berasa malu jika kecacatan mereka terdedah, tetapi malang apabila ada yang tidak pula berasa malu jika auratnya terdedah. Lebih menyedihkan lagi apabila dibanggakan pula susuk tubuh yang dapat diperlihatkan kepada umum. Sepatutnya kita harus malu untuk mendedahkan rahsia tubuh, malu untuk membanggakan diri, malu untuk mengumpat dan mencela, malu untuk bergaul bebas tanpa akhlak. Tetapi keadaan yang sebaliknya pula berlaku.

Islam menggalakkan umatnya mengikis perasaan malu yang negatif. Umpamanya, malu untuk bersedekah, malu untuk solat berjemaah, malu untuk menegah kemungkaran dan malu untuk menderma tenaga dalam setiap kerja amal. Malang sekali, sifat malu beginilah yang banyak diamalkan dalam kehidupan kita hari ini. Malu yang tidak kena pada tempat.

--------------------------------------
Pendapat hamba berkenaan malu

Iya, adalah amat menyedihkan apabila maksiat dan keburukan dibangga-banggakan. Kita tidak malu untuk mencemuh sesama insan di dalam laman sosial, tak kurang juga menceritakan keaiban orang umpamanya kita seperti gunting dalam lipatan. Kita tidak malu untuk berlagak sombong, membezakan taraf manusia berdasarkan struktur sosial. Kita tidak malu ketawa sehingga mengilai dan bertepuk tampar sesama berlainan jantina.

Janganlah kita malu untuk memberi salam, janganlah kita malu untuk memberikan senyuman apabila mata bertemu. Sedih sekali jiwa hamba apabila tiap kali bertentangan mata sesama saudara Muslim, ramai yang memilih untuk mengalih wajah ke tempat lain berbanding untuk memberi atau membalas senyuman. Apa lagi untuk memberi salam memang jauh sekali.

Oleh itu, marilah kita sama-sama meningkatkan perasaan malu terhadap perkara-perkara mungkar yang sering dilakukan dan marilah kita kikiskan perasaan malu yang tidak bertempat. Berilah salam, berikan senyuman, ucaplah terima kasih, usah malu mengaku kesalahan dan meminta maaf jika kita memang bersalah. Jangan malu untuk memperbaiki diri. Jangan malu untuk bertanya, jangan malu untuk belajar, dan jangan malu terhadap perkara keduniaan semata seperti tidak punyai kasut baru ke majlis, memakai kereta ayah yang buruk. Itu semua adalah perkara yang tidak harus dimalukan.

Segala yang baik itu datang dari Allah dan segala kesilapan dan kekhilafan adalah dari diri hamba sendiri.

---------------------------------------

Fadhilat Membaca Surah Al-Anfal: 
"Barangsiapa membaca ayat 62 dan 63 dari surah ini, nescaya dia akan dicintai dan dihormati oleh sekelian manusia."

Maksud ayat 62 dan 63 Surah Al-Anfal:

Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang yang beriman, dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. 

Wednesday, 20 February 2013

Mukadimah

Assalamualaikum,
Blog ini dibuka untuk perkongsian ilmu kepada semua para sahabat, para pembaca, orang awam dan sesiapa sahaja di luar sana dialu-alukan untuk mengambil manfaat dari entri-entri yang bakal dikemaskini.
Hamba akan berkongsi dengan anda semua koleksi artikel 'Syiar Islam' yang diperolehi dari surau Jabatan Agama Islam NSTP. Selain itu, terdapat juga emel-emel berunsur kesedaran dan Islamik yang akan hamba kongsikan. Sukalah hati hamba kiranya para pembaca yang budiman dapat sama-sama turut serta dalam perkongsian ilmu ini. Diharap juga agar para pembaca yang budiman dapat memanjangkan kepada rakan-rakan agar dapat kita bersama-sama dalam memperbaiki diri seterusnya menuju redha Ilahi, insya-Allah.

Sebagai mukadimah, hamba ingin bercerita sedikit tentang sumber artikel yang bakal hamba kongsikan. Pada suatu masa dahulu, ibunda hamba merupakan seorang staf di NSTP. Beliaulah yang kerap membawa pulang artikel-artikel yang berunsur keagamaan dari surau di pejabatnya. Tidak kurang juga beliau bawa pulang emel-emel berunsur Islamik yang sudah siap dicetak untuk dibaca. Setelah beberapa tahun berlalu, dalam proses mengemaskini barang-barang lama, hamba terjumpa kembali fail yang memuatkan kesemua artikel berguna ini. Jikalau disimpan tanpa dikongsi manfaatnya, tiadalah gunanya. Maka hamba berharap blog ini dapat menjadi satu wahana yang dapat memperbaiki keadaan hidup kita dan juga menambah ilmu kita.

Kita semua, sesungguhnya adalah penuntut ilmu di muka bumi ini, dari kecil sampai tiba masanya kita dijemput pulang kepadaNya. Kesahihan artikel ini tidaklah hamba meneliti hingga ke akar umbi, jikalau tipu apa yang ditulis dalam risalah tersebut maka tipulah diri hamba ini. Ambillah manfaatnya, mana yang kurang diyakini, carilah dalilnya. Hamba sekadar berkongsi sumber yang hamba ada. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan segala kekurangan adalah dari diri hamba sendiri.

Blog ini, insya-Allah akan dikemaskini sebanyak 2 kali seminggu, iaitu pada setiap hari Isnin dan juga setiap hari Jumaat.

Nantikan entri pertama pada hari Jumaat ini, 22/2/2013.