Dalam melaksanakan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan sedaya upaya dan dengan kemampuan yang ada, kita sebagai manusia tidak akan terlepas dari kelalaian atau keterlanjuran yang menyebabkan diri kita tercebur ke dalam sesuatu perkara yang salah dan berdosa. Itulah sifat manusia yang lemah, kerana bukanlah dikatakan manusia kalau tidak membuat kesilapan. Setiap insan ada kesalahan dan kekurangannya, samada dilakukan dengan sengaja mahupun tidak sengaja. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Iringkanlah perbuatan jahat dengan perbuatan baik, mudah-mudahan yang baik itu akan memadam yang jahat."
Kalau telah terlanjur membuat satu-satu kesalahan, maka segeralah tampal kesalahan itu dengan suatu perbuatan yang baik. Kerana perbuatan baik itu tentu akan menimbulkan rasa kesal di dalam diri terhadap perbuatan jahat yang baru dilaksanakan itu. Mudah-mudahan penyesalan itu terus memberi kesan di dalam hati, maka ketika itu hati akan merasa pedih setiap kali teringat akan kesalahan yang pernah dilakukan itu, sehingga timbullah suatu cita-cita untuk menyekat daripada berlakunya sebarang kesalahan.
Setengah ulama mentafsirkan bahawa perbuatan baik (hasanat) itu ialah sembahyang lima waktu, kerana setiap sembahyang fardhu itu adalah penghapus dosa-dosa kecil. Apatah lagi jika diserikan sembahyang fardhu itu dengan doa-doa yang panjang dan kata-kata yang baik, dengan penuh khusyu' dan merendah diri, memohon keampunan daripada Allah s.w.t. dengan hati yang tulus ikhlas, maka tidak syak lagi segala permohonan itu akan terkabul.
Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Aku adalah Nabi yang paling banyak pengikutnya pada hari kiamat dan aku adalah orang yang pertama yang mengetuk pintu syurga."
Sumber: Syiar Islam, 10 September 1999 / 29 Jamadilawal 1420