Friday, 25 October 2013

Riya'

Hendaklah kita menjaga amalam kita agar tidak dikongsi atau disaingi dengan sebab-sebab keduniaan, atau dicampuraduk dengan kepentingan-kepentingan dunia yang tidak kekal itu. Amalan yang sedemikian itu tidak syak lagi akan ditolak oleh Allah s.w.t. Meninggalkan sesuatu ibadat kerana orang lain adalah riya', sebagaimana melakukannya kerana orang lain bererti berkongsi ibadat itu dengan selain daripada Allah s.w.t.  Ikhlas dalam amalan hendaklah ibadat kita bersih dari kedua-dua sifat tersebut.

Ibadat yang kita lakukan pada tidap-tidap hari itu hendaklah diteruskan seperti biasa, tidak kira di mana dan di hadapan siapa sekalipun. Perbuatan meninggalkan ibadat dinamakan riya', kerana melakukan sesuatu bukan sepenuhnya kerana Allah s.w.t. tetapi kerana orang lain. Sekiranya meninggalkan ibadat itu untuk dilakukan di tempat lain supaya tidak dilihat atau diketahui oleh orang lain, maka itu adalah sangat-sangat digemari oleh Islam.

Islam menggalakkan agar ibadat seseorang itu bersih dari segala keraguan yang mungkin timbul, dan hendaklah ia ditunaikan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. sahaja. Kecuali kalau ibadatnya itu sembahyang fardhu atau zakat yang mesti ditunaikan serta-merta, maka melakukannya dengan terang di hadapan khalayak ramai tidaklah merosakkan amalan itu dengan dikatakan ada riya'.

Amalan yang dikatakan riya' itu ialah jika seseorang beribadat jauh dari mata orang lain, ataupun bersendirian tidak ada yang mengetahui. Tetapi kemudiannya dia telah menyebut-nyebut ibadatnya itu kepada orang, samada mengharapkan kepujian dari orang itu ataupun kerana ingin menjadi popular, kononnya dialah orang yang paling baik atau soleh sekali, atau dialah orang yang banyak ibadatnya di malam hari. itu semua dilarang keras dalam Islam, maka hendaklah bersihkan diri kita daripadanya.

Seseorang yang mengerjakan solat itu memerlukan kepada empat (4) perkara sebelum sembahyangnya diterima oleh Allah s.w.t., iaitu:

Pertama: Hadir hatinya, barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa hadir hatinya, fikirannya merayau ke sana sini, ingat itu dan ingat ini, maka orang itu adalah penyembah yang lalai.

Kedua: Bersaksi akalnya, barangsiapa yang mengerjakan solat sedangkan akalnya atau fikirannya tiada bersama-samanya menyaksikan amalan solat itu, maka orang itu adalah penyembah yang pelupa.

Ketiga: Khudhu' (tunduk/rendah diri) kepada rukun-rukunnya, barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa khudhu' kepada rukun-rukun solat, maka orang itu adalah penyembah yang kering.

Keempat: Khusyu' segala anggotanya, barangsiapa yang bersembahyang tanpa khusyu' segala anggotanya, maka orang itu adalah penyembah yang salah.

Barangsiapa yang mengerjakan solat dengan cukup semua syarat-syaratnya, maka orang itulah yang dikatakan penyembah yang sempurna ikhlas kepada Allah s.w.t.

Keistimewaan Surah Al-Baqarah (Sapi betina)
"Barangsiapa membaca dua (2) ayat yang terakhir dari surah ini (Amanarrasulu) sebelum tidur, ia akan terselamat dari segala bala bencana dan mara bahaya."

Sumber: Syiar Islam, 5 Mei 2000 / 1 Safar 1421 

Sunday, 20 October 2013

Zikir adalah santapan hati

Imam Ghazali membahagikan zikir itu kepada empat (4) kategori:

1. Zikir dengan lisan sahaja

2. Zikir dengan hati berserta lisan secara paksa

3. Zikir dengan hati yang dibantu dengan lisan tanpa paksa.

4. Menguasai zikir di dalam hati dan menumpukannya

Tegasnya, zikir itu dapat dibahagikan pula kepada dua iaitu pertama zikir dengan lidah dan kedua zikir dengan hati.

Yang lebih afdhal ialah muqarabah, iaitu mengingati Allah dengan hati. Selain itu, seseorang hendaklah memelihara tertib berzikir dengan sebaik-baiknya. Antara tertib dan tatacara berzikir termasuklah berkeadaan bersih, menghadap kiblat serta hendaklah khusyuk kepada Allah Taala dan mengingati kebesaranNya.

Berzikir dengan lidah sedangkan hati lalai tidak memberikan sebarang kesan atau faedah. Ini bermaksud bahawa kehadiran hati dengan mengingati Allah s.w.t. selalu lebih dipentingkan daripada segala ibadat, tetapi lebih baiklah daripada tidak berzikir sama sekali.

Sesungguhnya dengan mengingati Allah, kita melepaskan diri kita daripada suasana yang buruk dan keji serta fitnah yang berkecamuk. Mengingati Allah dengan menyebut namaNya akan mendorong kita untuk menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia. Justeru itu janganlah membiarkan satu saat berlalu begitu sahaja tanpa berzikir kepada Allah s.w.t.

Suasana dan keadaan mengingati Allah di kala kita keseorangan dan sunyi sepi mempunyai pengaruh yang mendalam. Ia melahirkan rasa ni'mat dan kemanisan di dalam hati, menyinari dan melapangkan dada, terutama tatkala airmata bercucuran kerana takut kepada Allah. Inilah golongan yang dinaungi oleh Allah pada hari di mana tiada naungan kecuali naungan Allah.

Sumber: Syiar Islam, 18 Mac 2005 / 7 Safar 1426