Sunday, 20 October 2013

Zikir adalah santapan hati

Imam Ghazali membahagikan zikir itu kepada empat (4) kategori:

1. Zikir dengan lisan sahaja

2. Zikir dengan hati berserta lisan secara paksa

3. Zikir dengan hati yang dibantu dengan lisan tanpa paksa.

4. Menguasai zikir di dalam hati dan menumpukannya

Tegasnya, zikir itu dapat dibahagikan pula kepada dua iaitu pertama zikir dengan lidah dan kedua zikir dengan hati.

Yang lebih afdhal ialah muqarabah, iaitu mengingati Allah dengan hati. Selain itu, seseorang hendaklah memelihara tertib berzikir dengan sebaik-baiknya. Antara tertib dan tatacara berzikir termasuklah berkeadaan bersih, menghadap kiblat serta hendaklah khusyuk kepada Allah Taala dan mengingati kebesaranNya.

Berzikir dengan lidah sedangkan hati lalai tidak memberikan sebarang kesan atau faedah. Ini bermaksud bahawa kehadiran hati dengan mengingati Allah s.w.t. selalu lebih dipentingkan daripada segala ibadat, tetapi lebih baiklah daripada tidak berzikir sama sekali.

Sesungguhnya dengan mengingati Allah, kita melepaskan diri kita daripada suasana yang buruk dan keji serta fitnah yang berkecamuk. Mengingati Allah dengan menyebut namaNya akan mendorong kita untuk menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia. Justeru itu janganlah membiarkan satu saat berlalu begitu sahaja tanpa berzikir kepada Allah s.w.t.

Suasana dan keadaan mengingati Allah di kala kita keseorangan dan sunyi sepi mempunyai pengaruh yang mendalam. Ia melahirkan rasa ni'mat dan kemanisan di dalam hati, menyinari dan melapangkan dada, terutama tatkala airmata bercucuran kerana takut kepada Allah. Inilah golongan yang dinaungi oleh Allah pada hari di mana tiada naungan kecuali naungan Allah.

Sumber: Syiar Islam, 18 Mac 2005 / 7 Safar 1426

No comments:

Post a Comment