Monday, 1 September 2014

Memelihara Lisan (Lidah)

Dari Ibnu Umar r.a. ia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Jangan banyak berbicara selain dari mengingati (zikir) kepada Allah. Sebab banyak bicara selain dari menyebut nama Allah (zikrullah) mengeraskan hati. Dan sesungguhnya orang yang jauh dari Allah Taala ialah orang yang berhati keras."

Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang dipelihara oleh Allah Taala dari kejahatan antara dua tulang rahangnya dan kejahatan antara dua kakinya, maka nescaya ia masuk syurga."

Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. ia bersabda:

"Apabila anak Adam sudah berada pada waktu pagi - kerana semua anggota badan menganggap lidah sebagai anggota yang hina - maka mereka berkata kepadanya: - Wahai lidah, takwalah kepada Allah selama kau berada pada kami, kerana kami hanya mendapat akibat daripadamu. Jika kamu lurus kami pun menjadi lurus dan jika kamu bengkok kami pun menjadi bengkok - ." 

Dari Ummu Habibah r.a. dari Nabi s.a.w.:

"Tiap-tiap ucapan anak Adam itu berakibat buruk, tidak membawa faedah kecuali amar makruf, nahi mungkar dan zikir kepada Allah Taala."


Fadhilat Membaca Surah An-Naba' (Cabaran):
"Barangsiapa membacanya, nescaya harta bendanya akan terpelihara dari kecurian dan dari kejahatan para penjahat."


Sumber: Syiar Islam, 5 April 2002 / 22 Muharram 1423

Saturday, 2 November 2013

Membuat Kebaikan untuk Menebus Kejahatan...

Dalam melaksanakan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan sedaya upaya dan dengan kemampuan yang ada, kita sebagai manusia tidak akan terlepas dari kelalaian atau keterlanjuran yang menyebabkan diri kita tercebur ke dalam sesuatu perkara yang salah dan berdosa. Itulah sifat manusia yang lemah, kerana bukanlah dikatakan manusia kalau tidak membuat kesilapan. Setiap insan ada kesalahan dan kekurangannya, samada dilakukan dengan sengaja mahupun tidak sengaja. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Iringkanlah perbuatan jahat dengan perbuatan baik, mudah-mudahan yang baik itu akan memadam yang jahat."

Kalau telah terlanjur membuat satu-satu kesalahan, maka segeralah tampal kesalahan itu dengan suatu perbuatan yang baik. Kerana perbuatan baik itu tentu akan menimbulkan rasa kesal di dalam diri terhadap perbuatan jahat yang baru dilaksanakan itu. Mudah-mudahan penyesalan itu terus memberi kesan di dalam hati, maka ketika itu hati akan merasa pedih setiap kali teringat akan kesalahan yang pernah dilakukan itu, sehingga timbullah suatu cita-cita untuk menyekat daripada berlakunya sebarang kesalahan.

Setengah ulama mentafsirkan bahawa perbuatan baik (hasanat) itu ialah sembahyang lima waktu, kerana setiap sembahyang fardhu itu adalah penghapus dosa-dosa kecil. Apatah lagi jika diserikan sembahyang fardhu itu dengan doa-doa yang panjang dan kata-kata yang baik, dengan penuh khusyu' dan merendah diri, memohon keampunan daripada Allah s.w.t. dengan hati yang tulus ikhlas, maka tidak syak lagi segala permohonan itu akan terkabul.

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Aku adalah Nabi yang paling banyak pengikutnya pada hari kiamat dan aku adalah orang yang pertama yang mengetuk pintu syurga."

Sumber: Syiar Islam, 10 September 1999 / 29 Jamadilawal 1420 

Friday, 25 October 2013

Riya'

Hendaklah kita menjaga amalam kita agar tidak dikongsi atau disaingi dengan sebab-sebab keduniaan, atau dicampuraduk dengan kepentingan-kepentingan dunia yang tidak kekal itu. Amalan yang sedemikian itu tidak syak lagi akan ditolak oleh Allah s.w.t. Meninggalkan sesuatu ibadat kerana orang lain adalah riya', sebagaimana melakukannya kerana orang lain bererti berkongsi ibadat itu dengan selain daripada Allah s.w.t.  Ikhlas dalam amalan hendaklah ibadat kita bersih dari kedua-dua sifat tersebut.

Ibadat yang kita lakukan pada tidap-tidap hari itu hendaklah diteruskan seperti biasa, tidak kira di mana dan di hadapan siapa sekalipun. Perbuatan meninggalkan ibadat dinamakan riya', kerana melakukan sesuatu bukan sepenuhnya kerana Allah s.w.t. tetapi kerana orang lain. Sekiranya meninggalkan ibadat itu untuk dilakukan di tempat lain supaya tidak dilihat atau diketahui oleh orang lain, maka itu adalah sangat-sangat digemari oleh Islam.

Islam menggalakkan agar ibadat seseorang itu bersih dari segala keraguan yang mungkin timbul, dan hendaklah ia ditunaikan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. sahaja. Kecuali kalau ibadatnya itu sembahyang fardhu atau zakat yang mesti ditunaikan serta-merta, maka melakukannya dengan terang di hadapan khalayak ramai tidaklah merosakkan amalan itu dengan dikatakan ada riya'.

Amalan yang dikatakan riya' itu ialah jika seseorang beribadat jauh dari mata orang lain, ataupun bersendirian tidak ada yang mengetahui. Tetapi kemudiannya dia telah menyebut-nyebut ibadatnya itu kepada orang, samada mengharapkan kepujian dari orang itu ataupun kerana ingin menjadi popular, kononnya dialah orang yang paling baik atau soleh sekali, atau dialah orang yang banyak ibadatnya di malam hari. itu semua dilarang keras dalam Islam, maka hendaklah bersihkan diri kita daripadanya.

Seseorang yang mengerjakan solat itu memerlukan kepada empat (4) perkara sebelum sembahyangnya diterima oleh Allah s.w.t., iaitu:

Pertama: Hadir hatinya, barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa hadir hatinya, fikirannya merayau ke sana sini, ingat itu dan ingat ini, maka orang itu adalah penyembah yang lalai.

Kedua: Bersaksi akalnya, barangsiapa yang mengerjakan solat sedangkan akalnya atau fikirannya tiada bersama-samanya menyaksikan amalan solat itu, maka orang itu adalah penyembah yang pelupa.

Ketiga: Khudhu' (tunduk/rendah diri) kepada rukun-rukunnya, barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa khudhu' kepada rukun-rukun solat, maka orang itu adalah penyembah yang kering.

Keempat: Khusyu' segala anggotanya, barangsiapa yang bersembahyang tanpa khusyu' segala anggotanya, maka orang itu adalah penyembah yang salah.

Barangsiapa yang mengerjakan solat dengan cukup semua syarat-syaratnya, maka orang itulah yang dikatakan penyembah yang sempurna ikhlas kepada Allah s.w.t.

Keistimewaan Surah Al-Baqarah (Sapi betina)
"Barangsiapa membaca dua (2) ayat yang terakhir dari surah ini (Amanarrasulu) sebelum tidur, ia akan terselamat dari segala bala bencana dan mara bahaya."

Sumber: Syiar Islam, 5 Mei 2000 / 1 Safar 1421 

Sunday, 20 October 2013

Zikir adalah santapan hati

Imam Ghazali membahagikan zikir itu kepada empat (4) kategori:

1. Zikir dengan lisan sahaja

2. Zikir dengan hati berserta lisan secara paksa

3. Zikir dengan hati yang dibantu dengan lisan tanpa paksa.

4. Menguasai zikir di dalam hati dan menumpukannya

Tegasnya, zikir itu dapat dibahagikan pula kepada dua iaitu pertama zikir dengan lidah dan kedua zikir dengan hati.

Yang lebih afdhal ialah muqarabah, iaitu mengingati Allah dengan hati. Selain itu, seseorang hendaklah memelihara tertib berzikir dengan sebaik-baiknya. Antara tertib dan tatacara berzikir termasuklah berkeadaan bersih, menghadap kiblat serta hendaklah khusyuk kepada Allah Taala dan mengingati kebesaranNya.

Berzikir dengan lidah sedangkan hati lalai tidak memberikan sebarang kesan atau faedah. Ini bermaksud bahawa kehadiran hati dengan mengingati Allah s.w.t. selalu lebih dipentingkan daripada segala ibadat, tetapi lebih baiklah daripada tidak berzikir sama sekali.

Sesungguhnya dengan mengingati Allah, kita melepaskan diri kita daripada suasana yang buruk dan keji serta fitnah yang berkecamuk. Mengingati Allah dengan menyebut namaNya akan mendorong kita untuk menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia. Justeru itu janganlah membiarkan satu saat berlalu begitu sahaja tanpa berzikir kepada Allah s.w.t.

Suasana dan keadaan mengingati Allah di kala kita keseorangan dan sunyi sepi mempunyai pengaruh yang mendalam. Ia melahirkan rasa ni'mat dan kemanisan di dalam hati, menyinari dan melapangkan dada, terutama tatkala airmata bercucuran kerana takut kepada Allah. Inilah golongan yang dinaungi oleh Allah pada hari di mana tiada naungan kecuali naungan Allah.

Sumber: Syiar Islam, 18 Mac 2005 / 7 Safar 1426

Monday, 23 September 2013

Budi pekerti rendah petanda iman yang lemah

Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan bahawa iman yang kuat pasti melahirkan budi pekerti yang kuat pula. Sebaliknya, rosaknya budi pekerti pasti akibat dari lemahnya iman, atau kerana hilangnya iman disebabkan oleh terlampau besarnya perbuatan jahat dan kebodohan seseorang.

Orang yang gemar menjerumuskan tetangga dan menuduhkan hal-hal yang buruk kepadanya, agama menetapkan hukumnya dengan ketetapan yang amat berat. Mengenai hal itu Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Demi Allah, ia tidak beriman......Demi Allah, ia tidak beriman......" Seorang sahabat bertanya: 'Siapakah ya Rasulullah? Beliau menjawab: Orang yang tetangganya tidak merasa aman kerana perbuatan jahatnya."

Di samping itu, kita juga dikehendaki menjauhkan diri dari perkara-perkara yang tidak bermanfaat serta menghindari cakap-cakap kosong sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.:

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah berbicara baik-baik atau diam."

Dalam riwayat yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Budi pekerti yang baik mencairkan dosa seperti air mencairkan gumpalan salju. Sedangkan perangai buruk merosakkan amal soleh seperti cuka merosakkan madu."

Jika sifat-sifat rendah budi pekerti terus tumbuh di dalam jiwa seseorang, bahayanya bertambah besar dan meluas, maka orang itu telah lepas sama sekali dari agamanya, seperti orang yang melepaskan pakaiannya. Dengan demikian maka pengakuannya sebagai orang beriman hanya pengakuan palsu belaka. Apa ertinya agama tanpa budi pekerti?

Sebagai penegasan mengenai hubungan antara iman dan budi pekerti lurus, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ada tiga perkara bila terdapat pada seseorang, maka ia adalah munafik, meskipun ia berpuasa, sembahyang, menunaikan ibadah haji dan umrah, dan mengaku seorang Muslim. Iaitu bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia ingkar, dan bila dipercaya ia khianat."

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Orang mukmin yang sempurna imannya, ialah yang terbaik budi pekertinya, dan lunak jenaka pada keluarganya, dan sebaik-baik kamu ialah yang terbaik pada isterinya (keluarganya)" -Hadis Riwayat At-Tirmidzi

Sumber: Syiar Islam, 11 Julai 2003 / 11 Jamadilawal 1424

Sunday, 15 September 2013

Sifat syurga dan ahlinya...

Abu Hurairah r.a. berkata: Ya Rasulullah syurga itu dibuat daripada apa? Jawab Baginda s.a.w., "dari air."

"Beritakan kepada kami tentang bangunan syurga," maka jawab Nabi s.a.w., "Satu bata dari emas dan satu bata dari perak, dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za'faran, kerikilnya mutiara dan yaqut, siapa yang masuk dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati, tidak lapuk pakaiannya dan tidak berubah mukanya."

Ibn Abbas r.a. berkata: "Sesungguhnya di dalam syurga ada bidadari yang dijadikan dari empat macam iaitu misk, anbar, kafur dan za'faran, sedangkan tanahnya dicampur dengan air hidup (hayawan), dan setelah dijadikan maka semua bidadari asyik kepadanya. Andaikan ia berludah ke dalam laut tentu menjadi tawar airnya, tercantum di lehernya. Siapa yang ingin mendapat isteri sepertinya maka hendaknya taat kepada Tuhanku."

Nabi s.a.w. bersabda: "Rombongan pertama akan masuk syurga dari umatku bagaikan bulan purnama, kemudian yang berikutnya bagaikan bintang yang amat terang di langit, kemudian sesudah itu menurut tingkatnya masing-masing; mereka tidak buang air dan tidak berludah. Sisir rambut mereka dari emas, peluh mereka kasturi, dan bentuk mereka seperti seorang yang tingginya bagaikan Adam a.s. enam puluh hasta."

Dalam hadis lain menerangkan: "Di antara wanita-wanita di dunia ini ada yang kecantikannya melebihi dari bidadari kerana amal perbuatannya ketika di dunia."

Fadhilat Membaca Surah As-Saffat
"Barangsiapa membacanya, in shaa Allah ia akan terpelihara daripada gangguan jin."

Sumber: Syiar Islam, 18 Mei 2001 / 24 Safar 1422

Monday, 26 August 2013

Kelebihan Umat Muhammad

Rasulullah s.a.w. memberikan umatnya LIMA perkara yang tidak diberi oleh nabi dan rasul-rasul lain kepada umat mereka sebelum ini.

Pertama: Pada malam pertama bulan Ramadhan, Allah s.w.t. memandang mereka yang berpuasa dengan pandangan kasih sayang dan sesiapa yang mendapat pandangan Allah, mereka tidak akan disiksa untuk selama-lamanya.

Kedua: Allah memerintahkan kepada malaikat supaya meminta ampun untuk umat Muhammad s.a.w. yang berpuasa.

Ketiga: Di sisi Allah, bau mulut orang yang berpuasa terutama pada waktu petang adalah laksana keharuman bau harum minyak misk yang lebih harum dari kasturi.

Keempat: Allah berfirman kepada syurga supaya berhias untuk menerima kedatangan orang berpuasa.

Kelima: Allah mengampuni mereka yang berpuasa.

Sebenarnya, ibadat puasa adalah rahsia, tidak seperti ibadat lain umpamanya ibadat solat dan membayar zakat. Hanya Allah yang mengetahui rahsianya dan memberi pahala. Kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Pada hari kiamat akan datang sekelompok makhluk Allah yang mempunyai sayap seperti burung syurga. 

Maka penjaga syurga bertanya: Dari mana kalian datang? 

Mereka menjawab; Kami adalah umat Muhammad s.a.w.. 

Penjaga syurga itu bertanya lagi: Apakah kalian sudah dihisab? 

Mereka menjawab; Tidak. 

Malaikat menjaga syurga bertanya lagi: Apakah kalian sudah melewati jambatan siratal-mustaqim?

Mereka menjawab; Tidak.

Kemudian malaikat bertanya lagi: Apakah kalian perolehi darjat pahala ini?

Dijawab oleh mereka; Kami menyembah Allah di dunia secara senyap-senyap dan dimasukkan ke syurga dengan secara senyap-senyap juga."


Fadhilat Membaca Surah Al-Kaafiruun (Orang-orang kafir)

Surah ini sebanding dengan seperempat Al-Qur'an, "barangsiapa sentiasa membacanya ketika terbitnya dan terbenamnya matahari, ia akan dianugerahkan kesejahteraan untuk selama-lamanya."

"Barangsiapa membacanya setiap pagi dan petang, in shaa Allah ia akan terhindar dari syirik, bid'ah buruk sangka dan kepercayaan yang karut."

Sahabat Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahawa surah ini benar-benar dibenci oleh syaitan kerana ia mengandungi ajaran-ajaran tauhid dan ajaran-ajaran yang menjauhkan syirik.

Sumber: Syiar Islam, 8 November 2002 / 3 Ramadhan 1423