Monday, 23 September 2013

Budi pekerti rendah petanda iman yang lemah

Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan bahawa iman yang kuat pasti melahirkan budi pekerti yang kuat pula. Sebaliknya, rosaknya budi pekerti pasti akibat dari lemahnya iman, atau kerana hilangnya iman disebabkan oleh terlampau besarnya perbuatan jahat dan kebodohan seseorang.

Orang yang gemar menjerumuskan tetangga dan menuduhkan hal-hal yang buruk kepadanya, agama menetapkan hukumnya dengan ketetapan yang amat berat. Mengenai hal itu Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Demi Allah, ia tidak beriman......Demi Allah, ia tidak beriman......" Seorang sahabat bertanya: 'Siapakah ya Rasulullah? Beliau menjawab: Orang yang tetangganya tidak merasa aman kerana perbuatan jahatnya."

Di samping itu, kita juga dikehendaki menjauhkan diri dari perkara-perkara yang tidak bermanfaat serta menghindari cakap-cakap kosong sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.:

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah berbicara baik-baik atau diam."

Dalam riwayat yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Budi pekerti yang baik mencairkan dosa seperti air mencairkan gumpalan salju. Sedangkan perangai buruk merosakkan amal soleh seperti cuka merosakkan madu."

Jika sifat-sifat rendah budi pekerti terus tumbuh di dalam jiwa seseorang, bahayanya bertambah besar dan meluas, maka orang itu telah lepas sama sekali dari agamanya, seperti orang yang melepaskan pakaiannya. Dengan demikian maka pengakuannya sebagai orang beriman hanya pengakuan palsu belaka. Apa ertinya agama tanpa budi pekerti?

Sebagai penegasan mengenai hubungan antara iman dan budi pekerti lurus, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ada tiga perkara bila terdapat pada seseorang, maka ia adalah munafik, meskipun ia berpuasa, sembahyang, menunaikan ibadah haji dan umrah, dan mengaku seorang Muslim. Iaitu bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia ingkar, dan bila dipercaya ia khianat."

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Orang mukmin yang sempurna imannya, ialah yang terbaik budi pekertinya, dan lunak jenaka pada keluarganya, dan sebaik-baik kamu ialah yang terbaik pada isterinya (keluarganya)" -Hadis Riwayat At-Tirmidzi

Sumber: Syiar Islam, 11 Julai 2003 / 11 Jamadilawal 1424

No comments:

Post a Comment