Monday, 29 July 2013

Lailatul Qadar...

Waktu terjadinya Lailatul Qadar 

Para ulama berselisih pendapat tentang saat dan waktu terjadinya Lailatul Qadar itu. Akan tetapi sebahagian besar ulama menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu terdapat pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan setiap tahun.

Berkenaan dengan tarikh pasti jatuhnya malam Lailatul Qadar itu berbeza pula pendapat para ulama. Ada yang mengatakan satu Ramadhan, 17 Ramadhan, akan tetapi pendapat yang paling banyak adalah pada malam ganjil seperti pada 21, 23, 25, 27, dan 29 Ramadhan.

Oleh kerana tidak adanya keterangan yang pasti tentang bila terjadinya Lailatul Qadar itu, maka sebaiknyalah bagi kita menghabiskan masa dengan beribadah, pada setiap malam bermula daripada malam yang ke-20 hingga seterusnya.

Sekadar tambahan dalam mengetahui waktu terjadinya Lailatul Qadar ini eloklah kiranya kita perhatikan kaedah Imam Ghazali dalam menentukan kepastian Lailatul Qadar. Beliau menggunakan cara memperhatikan hari-hari dari permulaan Ramadhan, menurutnya:

1. Jika puasa bermula pada hari Ahad, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 29.

2. Jika puasa bermula pada hari Isnin, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 21.

3. Jika puasa bermula pada hari Selasa, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 24.

4. Jika puasa bermula pada hari Rabu, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 20.

5. Jika puasa bermula pada hari Khamis, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 25.

6. Jika puasa bermula pada hari Jumaat, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam  19.

7. Jika puasa bermula pada hari Sabtu, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 23.

Wallahua'lam.

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Sesiapa yang ingin mengintai malam Lailatul Qadar hendaklah ia mengintai pada malam 27 haribulan." -Hadis Riwayat Ahmad-

Sumber: Syiar Islam, 14 November 2003 / 19 Ramadhan 1424

Friday, 26 July 2013

Kelebihan Ramadhan (sambungan lagi)

i. Memperbanyak istighfar pada malam terakhir Ramadhan

Rasulullah s.a.w. bersabda, ertinya: "Pada bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku."

Pertama, iaitu bila datang awal malam Ramadhan, Allah s.w.t. melihat mereka. Barangsiapa dilihat oleh Allah maka selamanya dia tidak akan disentuh oleh azab.

Kedua, bau mulut mereka pada petang hari disisi Allah lebih harum dari bau minyak kasturi.

Ketiga, para malaikat memohon keampunan bagi mereka setiap hari siang dan malam.

Keempat, Allah s.w.t. menyuruh syurgaNya dengan berfirman yang bermaksud: "Bersiap-siaplah dan hiasilah dirimu untuk hamba-hambaKu. Kamu sekalian telah dekat saat beristirahat dari keletihan hidup di dunia dan kembali ke kampungKu dan rahmatKu."

Kelima, apabila telah tiba akhir malam Ramadhan, Allah mengampunkan dosa-dosa mereka semua.

ii. Membaca doa ketika bertemu Lailatul Qadar

Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada A'isyah supaya berdoa apabila bertemu dengan Lailatul Qadr. Doa tersebut ialah;

"Allahumma innaka 'afuwan tuhibbul 'afwa fa'fu 'anni."

Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosaku. Engkau suka mengampun, maka ampunilah aku."

Mengetahui Isyarat Tanda-tanda Lailatul Qadr

Menurut berbagai riwayat mengatakan bahawa di antara tanda-tanda turunnya malam Lailatul Qadr itu ialah: Malam terasa sunyi dan sepi, penuh dengan ketenangan serta bercahaya. Keadaan cuaca tidak sejuk dan tidak panas. Hujan tidak turun pada malam itu. Cahaya matahari esok paginya berkurang sedikit dan matahari muncul seolah-olah seperti bulan mengambang penuh.

Dalam sebuah hadith diterangkan, bahawa Ubadah bin Samit r.a. meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya Rasulullah s.a.w. mengenai Lailatul Qadr, Baginda menjawab; "Ia terdapat pada bulan Ramadhan iaitu pada sepuluh yang terakhir pada malam-malam yang ganjil samada malam ke-21, ke-23, ke-25, ke-27, ke-29 dan malam terakhir Ramadhan. Sesiapa sahaja yang berjaga malam untuk beribadah dengan iman dan penuh keikhlasan, maka akan terampunlah segala dosa-dosanya yang lampau."

Maksud Hadith Rasulullah s a.w.
"Malam Lailatul Qadr itu ialah malam yang cerah (terang), tidak dingin dan tidak panas, tidak berawan dan tidak hujan dan tiada angin, dan tanda pada pagi harinya matahari terbit tidak bersinar (hanya nampak terang putih tetapi tidak panas)."

Sumber: Syiar Islam, 28 Oktober 2005 / 24 Ramadhan 1426

Sunday, 21 July 2013

Kelebihan Bulan Ramadhan [part 3]

Umar bin Khattab meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang di antara kamu bangun dari tidurnya pada bulan Ramadhan, dan waktu itu ia masih bergerak di atas tempat tidurnya dan menggeliat ke kanan dan ke kiri, berkatalah malaikat kepadanya; Bangunlah, semoga Allah memberkati dan memberi rahmat padamu. Dan jika ia lantas bangun dari tempat tidurnya dengan niat untuk melakukan solat, maka tempat tidur itu berdoa; Ya Allah berilah dia tempat tidur yang tinggi di syurga. Dan apabila ia mengenakan pakaian, pakaiannya pun berdoa; Ya Allah berilah dia pakaian dari syurga. Dan apabila ia mengenakan sandal, maka sandalnya pun berdoa; Ya Allah tetapkanlah kedua telapak kakinya di atas jambatan siratal mustaqim. Dan apabila ia memegang gayung, maka gayung pun berdoa; Ya Allah berikanlah kepadanya gelas-gelas syurgawi. Dan apabila ia mengambil air untuk berwudhuk maka airnya pun berdoa; Ya Allah sucikanlah ia dari segala dosa dan maksiat. Dan jika ia berdiri untuk mengerjakan solat maka rumahnya berdoa; Ya Allah lapangkanlah kuburnya dan sinarilah liangnya serta tambahkanlah kepadanya rahmat. 

Kemudian Allah mendorongnya dengan penuh kasih sayang serta rahmat sambil berfirman:

"Hai hambaKu, engkau berdoa dan Aku menerima, engkau meminta dan Aku memberi, dan bila engkau minta ampun maka Aku mengampuni."

Dari Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa mendatangi majlis ilmu pada bulan Ramadhan, maka Allah mencatat setiap langkah merupakan ibadah satu tahun dan ia bersama saya di Arsy. Dan barangsiapa membiasakan melakukan sembahyang jemaah pada bulan Ramadhan maka Allah memberi pahala pada setiap rakaat sebuah kota yang penuh dengan ni'mat dari Allah Taala. Dan barangsiapa berbuat baik kepada kedua orang tuanya pada bulan Ramadhan maka akan menerima pandangan yang mengandungi rahmat dari Allah Taala. Dan sayalah yang menjamin dan menemaninya dalam syurga. Dan setiap wanita yang menghendaki keredhaan suaminya pada bulan Ramadhan maka ia mendapatkan pahala seperti pahala Maryam dan Aisyah sebagai isteri yang baik. Dan barangsiapa memenuhi keperluan temannya sesama Muslim pada bulan Ramadhan, maka Allah akan memenuhi keperluannya seribu kali pada hari kiamat."

bersambung...

Sumber: Syiar Islam, 22 Oktober 2004 / 8 Ramadhan 1425

Friday, 19 July 2013

Sentiasa berada di saf depan

Di antara perkara yang amat dituntut dan harus diambil berat ialah melazimkan diri berada di saf hadapan kerana Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersolat di saf-saf yang terdepan." (mohon semak kembali hadith ini kerana saya tidak menemukannya di mana-mana)

Sabdanya lagi yang bermaksud:

"Sekiranya orang ramai mengetahui keutamaan yang terkandung di dalam azan dan saf awal, lalu mereka tidak akan memperolehinya melainkan dengan berundi, nescaya mereka akan berundi kerananya."

Di antara perkara sunat yang terpenting yang tidak harus dilalaikan ialah meluruskan saf dan merapatkannya. Rasulullah s.a.w. sentiasa menguruskan perkara ini sendiri dan menganjurkan dengan berkata:

"Hendaklah kamu merapatkan saf-saf kamu atau Allah akan memecah-belahkan antara hati kamu."

Sabdanya yang lain membawa maksud:

"Sesungguhnya aku selalu melihat syaitan-syaitan masuk di celah-celah saf."

Maksudnya, jika ada renggang di antara saf-saf tersebut. Oleh hendaklah berbaris rapat-rapat sehingga bahu yang menyentuh bagi yang lain kerana terlalu rapat. Hendaklah juga tidak ada seorang yang terdepan dan seorang yang terbelakang. Itulah yang sunat, yang harus diambil berat.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Hendaklah kamu bantu-membantu atas mengerjakan kebajikan dan taqwa dan jangan bantu-membantu atas mengerjakan dosa dan penganiayaan." (Surah Al-Maidah, ayat 2)

Hendaklah kita sentiasa datang awal supaya dapat tempat di saf awal dan kemudian meluruskan saf dan merapatkannya, moga-moga dirahmati Allah. Sebenarnya sunat ini adalah di antara sunat-sunat Rasulullah yang hampir lenyap. Maka barangsiapa menghidupkannya, nescaya ia akan berada bersama-sama baginda di dalam syurga.

Fadhilat Membaca Surah Al-Maidah (Hidangan):
"Barangsiapa membaca ayat yang ke-7 dari surah ini sebanyak yang mungkin selama tiga (3) hari berturut-turut, insyaa Allah akan terselamat dari was-was semasa wudhuk dan sembahyang."

Maksud ayat 7 Surah Al-Maidah

"Dan ingatlah kurnia Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan; "Kami dengar dan kami taati." Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui isi hati(mu)." 

"Barangsiapa membaca ayat 89 hingga ayat 101 dari surah ini ke atas air, lalu diberi minum kepada orang yang bercakap dusta, nescaya dia tidak akan bercakap dusta lagi."

Rujuk tafsiran ayat 89 hingga ayat 101 surah Al-Maidah di sini

Sumber: Syiar Islam, 29 April 2005 / 20 Rabiulawal 1426

Sunday, 14 July 2013

Kelebihan Ramadhan (sambungan)

Amal Ibadat Yang Dikerjakan Pada Bulan Ramadhan:-

- Mengerjakan Solat Witir
Jika anda berniat hendak bangun tengah malam mengerjakan solat sunat tahajjud, solat hajat, solat tasbih dan sebagainya, maka solat sunat witir boleh ditangguhkan dan dilaksanakan terakhir sekali iaitu setelah selesai dikerjakan semua solat-solat tersebut.

- Beriktikaf 10 hari terakhir Ramadhan
Dari A'isyah ia berkata: "Adalah Nabi s.a.w. beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan hingga Allah s.w.t. mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda beriktikaf sesudah itu."

Yang dimaksudkan dengan beriktikaf ialah tinggal menyendiri di dalam masjid untuk melakukan ibadah selama sepuluh hari akhir bulan Ramadhan tanpa keluar, kecuali kerana keperluan yang mendesak.

- Memperbanyak amal dan sedekah
Amal kebajikan seperti membaca Al-Qur'an, berdoa, berzikir atau mengajarkan agama, jika dilakukan bertepatan dengan Lailatul Qadar maka Allah akan berikan pahala sama dengan pahala orang yang melakukan amal tersebut selama seribu bulan. Oleh kerana itu hendaklah pada malam atau siang hari bulan Ramadhan ini kita memperbanyak amal sunnah. Begitu juga kalau kita mampu hendaklah memperbanyak sedekah kepada fakir miskin.

Sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya semulia-mulia sedekah dalam bulan Ramadhan. Puasa itu perisai dan sedekah itu memadamkan kesalahan dosa seperti air memadamkan api."

"Barangsiapa memberi makan (berbuka) kepada orang berpuasa maka baginya seumpama balasan pahala orang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun."

- Memperbanyak tadarus Al-Qur'an
Dari Ibn Abbas berkata: "Adalah Nabi s.a.w. orang yang sangat dermawan dan lebih besar lagi kedermawanannya bila berada pada bulan Ramadhan, kerana Jibril biasa menemui baginda pada setiap Ramadhan sampai habis bulan. Rasulullah s.a.w. menghadirkan Al-Qur'an kepadanya dan Jibril menemuinya, baginda sangat besar kedermawanannya, sehingga melebihi angin yang bertiup." (HR Bukhari)

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.
"Siapa yang beriktikaf 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan maka dia mendapat pahala bagaikan 2 kali haji dan 2 kali umrah.

(bersambung)

Thursday, 11 July 2013

Kelebihan Ramadhan

Allah memberi rahmat/keampunan kepada umat Muhammad yang berpuasa kecuali 4 jenis manusia, iaitu:

1. Peminum arak yang kekal (pengamal arak).
2. Derhaka kepada ibu bapa.
3. Memutuskan hubungan saudara (memutuskan silaturrahim).
4. Orang yang tidak bertegur sapa sehingga 3 hari.

Umatku diberi oleh Allah s.w.t. lima macam kelebihan dan hal ini tidak diberi kepada umat terdahulu, iaitu:

1. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi.
2. Malaikat meminta ampun untuk orang berpuasa sehingga berbuka.
3. Syaitan dibelenggu/terhindar bagi mereka yang berpuasa.
4. Allah menghiaskan syurga pada hari-hari Ramadhan.
5. Allah anugerahkan malam Lailatul Qadar.

Umat Muhammad mendapat keuntungan Ramadhan seperti:

- Segala perbelanjaan dan derita lapar puasa adalah syurga balasannya.
- Apa jua bentuk amalan orang berpuasa digandakan sehingga 700 kali.

Dua kegembiraan diperolehi bagi mereka yang berpuasa iaitu:

- Kegembiraan waktu hampir berbuka puasa.
- Kegembiraan waktu bertemu Allah di akhirat.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud:

"Menunaikan yang sunat dalam waktu berpuasa diberi pahala fardhu dan amalan fardhu diberi pahala 70 kali ganda."

"Bulan puasa adalah bulan sabar dan sabar itu syurga tempatnya."

Pada bulan Ramadhan Allah anugerahkan rezeki melimpah kepada yang berpuasa. Barangsiapa memberi makan orang yang berpuasa pada waktu mereka berbuka Allah anugerahkan kepadanya:

- Diampunkan dosanya

- Diberi pahala puasa mengikut berapa ramai yang memakan barang yang disedekahkan itu. Contohnya, jika mereka sedekah untuk berbuka dengan memberi makanan kepada 10 orang, maka ia akan mendapat pahala puasa 10 orang itu.

- Barangsiapa mengenyangkan orang berbuka puasa dengan makanan/minuman, dia mati kelak dalam keadaan kenyang dan tidak dahaga. Apabila berhimpun di Padang Mahsyar juga dalam keadaan kenyang dan tidak dahaga.

Bersambung...

Sunday, 7 July 2013

Fadhilat Al-Qur’an

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Ada tiga macam, tiada seorangpun yang meremehkan mereka kecuali orang munafiq, iaitu:

i.                    Pemimpin (pemerintah) yang adil
ii.                  Orang tua dalam Islam.
iii.                Orang yang mengerti (mengajar) al-Qur’an

Sabdanya lagi:

“Pelajarilah kedua pelita yang terang iaitu Al-Baqarah dan Ali-Imran, maka keduanya akan datang kepada ahlinya pada hari kiamat berupa awan atau naungan atau rombongan burung yang menaungi dengan sayapnya, dan akan membela terhadap ahlinya yang selalu mempelajari dan mengamalkannya.”

Saad bin Abi Waqash r.a. berkata:

“Siapa yang mengkhatamkan al-Qur’an di waktu siang maka dibacakan istighfar (dimintakan ampun) oleh malaikat hingga petang, dan siapa yang khatam al-Qur’an di waktu malam, maka dimintakan ampun oleh malaikat hingga pagi.”

 Nabi s.a.w. bersabda:

"Orang yang membaca al-Qur’an dengan suara perlahan-lahan bagai orang yang merahsiakan sedekahnya, dan yang membaca al-Qur’an dengan suara keras (lantang) bagaikan orang yang bersedekah terang-terangan.”

Sabdanya lagi:

“Telah diperhatikan kepadaku dosa-dosa, maka tidak ada dosa yang lebih besar daripada seorang yang mengerti al-Qur’an lalu mengabaikannya.”

“Siapa yang telah mempelajari al-Qur’an kemudian melalaikannya tanpa uzur, akan tiba pada hari kiamat berpenyakit kusta (iaitu putus-putus tangannya).

Maksud Hadith Rasulullah s.a.w.:

“Tidak dibolehkan iri hati, kecuali pada dua perkara: Iri hati pada seorang yang mengetahui isi al-Qur’an dan selalu menjadikannya pedoman hidupnya dan iri hati kepada seorang lagi yang diberi kekayaan harta, lalu sentiasa dikeluarkannya untuk kebaikan.”


Sumber: Syiar Islam, 9 Disember 2005 / 7 Zulkaedah 1426

Thursday, 4 July 2013

Fadhilat bersedekah (sambungan)

Bersedekahlah kamu ke atas dirimu dan atas orang yang mati daripada kamu, walaupun dengan seteguk air. Kalau tiada berkemampuan bacalah satu ayat kitab Allah, kalau tidak tahu membacanya maka berdoalah kamu kepada mereka meminta diampuni dan dirahmati Allah kepada mereka.

Barangsiapa menengking kepada peminta sedekah nescaya ditengking akan dia oleh malaikat pada hari kiamat.

Maskahwin bidadari itu ialah segenggam buah kurma dan sebelah roti.

Tiada kurang harta dari sedekahnya itu (Di dunia ditambah berkat hartanya dan menolak bala, di akhirat kelak diberi pahala, diampun dosanya dan dikurniakan syurga).

Sedekah itu adalah sesutau yang paling besar - diulangi oleh Nabi sebanyak tiga kali. (Begitu sekali Nabi menekan kebesaran kemuliaan bersedekah).

Orang yang taat kepada Allah dengan ibadatnya dan taat kepada ibu bapanya, tetapi bakhil ia tiada bersedekah, maka ia diazab atas dosa bakhilnya di akhirat, dia dimasukkan ke dalam neraka.

Berfaedah sedekah apabila sedekahnya daripada harta yang halal, maka diampunkan dosanya, diberi pahala kepadanya, dilepaskan daripada bala, dilepaskan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila ia bersedekah dengan harta yang haram tiadalah apa-apa faedah baginya melainkan azab Allah ke atasnya, kerana memberi barang yang haram kepada orang.

(Di atas bersumber dari Al-Hadith)

Sabda Nabi s.a.w. bermaksud:

"Di dalam neraka jahanam ada sebuah rumah yang bernama 'Baitul Hazni', yang disediakan oleh Allah bagi orang yang bersedekah daripada harta yang haram."

Sabdanya lagi:

"Orang yang memberi makan atau sedekah dengan satu suap daripada yang haram maka Allah akan memberi kepadanya daripada besi yang dihancurkan daripada api neraka jahanam hingga cair seperti air. Apabila dimakannya putuslah isi perutnya. Masuk makanan itu daripada mulutnya. Keluar daripada duburnya, maka berserulah malaikat Zabaniah: Inilah balasan orang yang berusaha mendapatkan rezeki yang haram dan memakan ia daripadanya serta bersedekah ia daripadanya."

Sumber: Syiar Islam, 10 Disember 2004 / 27 Syawal 1425