Bersedekahlah kamu ke atas dirimu dan atas orang yang mati daripada kamu, walaupun dengan seteguk air. Kalau tiada berkemampuan bacalah satu ayat kitab Allah, kalau tidak tahu membacanya maka berdoalah kamu kepada mereka meminta diampuni dan dirahmati Allah kepada mereka.
Barangsiapa menengking kepada peminta sedekah nescaya ditengking akan dia oleh malaikat pada hari kiamat.
Maskahwin bidadari itu ialah segenggam buah kurma dan sebelah roti.
Tiada kurang harta dari sedekahnya itu (Di dunia ditambah berkat hartanya dan menolak bala, di akhirat kelak diberi pahala, diampun dosanya dan dikurniakan syurga).
Sedekah itu adalah sesutau yang paling besar - diulangi oleh Nabi sebanyak tiga kali. (Begitu sekali Nabi menekan kebesaran kemuliaan bersedekah).
Orang yang taat kepada Allah dengan ibadatnya dan taat kepada ibu bapanya, tetapi bakhil ia tiada bersedekah, maka ia diazab atas dosa bakhilnya di akhirat, dia dimasukkan ke dalam neraka.
Berfaedah sedekah apabila sedekahnya daripada harta yang halal, maka diampunkan dosanya, diberi pahala kepadanya, dilepaskan daripada bala, dilepaskan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila ia bersedekah dengan harta yang haram tiadalah apa-apa faedah baginya melainkan azab Allah ke atasnya, kerana memberi barang yang haram kepada orang.
(Di atas bersumber dari Al-Hadith)
Sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
"Di dalam neraka jahanam ada sebuah rumah yang bernama 'Baitul Hazni', yang disediakan oleh Allah bagi orang yang bersedekah daripada harta yang haram."
Sabdanya lagi:
"Orang yang memberi makan atau sedekah dengan satu suap daripada yang haram maka Allah akan memberi kepadanya daripada besi yang dihancurkan daripada api neraka jahanam hingga cair seperti air. Apabila dimakannya putuslah isi perutnya. Masuk makanan itu daripada mulutnya. Keluar daripada duburnya, maka berserulah malaikat Zabaniah: Inilah balasan orang yang berusaha mendapatkan rezeki yang haram dan memakan ia daripadanya serta bersedekah ia daripadanya."
Sumber: Syiar Islam, 10 Disember 2004 / 27 Syawal 1425
No comments:
Post a Comment