Friday, 26 July 2013

Kelebihan Ramadhan (sambungan lagi)

i. Memperbanyak istighfar pada malam terakhir Ramadhan

Rasulullah s.a.w. bersabda, ertinya: "Pada bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku."

Pertama, iaitu bila datang awal malam Ramadhan, Allah s.w.t. melihat mereka. Barangsiapa dilihat oleh Allah maka selamanya dia tidak akan disentuh oleh azab.

Kedua, bau mulut mereka pada petang hari disisi Allah lebih harum dari bau minyak kasturi.

Ketiga, para malaikat memohon keampunan bagi mereka setiap hari siang dan malam.

Keempat, Allah s.w.t. menyuruh syurgaNya dengan berfirman yang bermaksud: "Bersiap-siaplah dan hiasilah dirimu untuk hamba-hambaKu. Kamu sekalian telah dekat saat beristirahat dari keletihan hidup di dunia dan kembali ke kampungKu dan rahmatKu."

Kelima, apabila telah tiba akhir malam Ramadhan, Allah mengampunkan dosa-dosa mereka semua.

ii. Membaca doa ketika bertemu Lailatul Qadar

Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada A'isyah supaya berdoa apabila bertemu dengan Lailatul Qadr. Doa tersebut ialah;

"Allahumma innaka 'afuwan tuhibbul 'afwa fa'fu 'anni."

Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosaku. Engkau suka mengampun, maka ampunilah aku."

Mengetahui Isyarat Tanda-tanda Lailatul Qadr

Menurut berbagai riwayat mengatakan bahawa di antara tanda-tanda turunnya malam Lailatul Qadr itu ialah: Malam terasa sunyi dan sepi, penuh dengan ketenangan serta bercahaya. Keadaan cuaca tidak sejuk dan tidak panas. Hujan tidak turun pada malam itu. Cahaya matahari esok paginya berkurang sedikit dan matahari muncul seolah-olah seperti bulan mengambang penuh.

Dalam sebuah hadith diterangkan, bahawa Ubadah bin Samit r.a. meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya Rasulullah s.a.w. mengenai Lailatul Qadr, Baginda menjawab; "Ia terdapat pada bulan Ramadhan iaitu pada sepuluh yang terakhir pada malam-malam yang ganjil samada malam ke-21, ke-23, ke-25, ke-27, ke-29 dan malam terakhir Ramadhan. Sesiapa sahaja yang berjaga malam untuk beribadah dengan iman dan penuh keikhlasan, maka akan terampunlah segala dosa-dosanya yang lampau."

Maksud Hadith Rasulullah s a.w.
"Malam Lailatul Qadr itu ialah malam yang cerah (terang), tidak dingin dan tidak panas, tidak berawan dan tidak hujan dan tiada angin, dan tanda pada pagi harinya matahari terbit tidak bersinar (hanya nampak terang putih tetapi tidak panas)."

Sumber: Syiar Islam, 28 Oktober 2005 / 24 Ramadhan 1426

No comments:

Post a Comment