Sunday, 30 June 2013

Fadhilat bersedekah (Bahagian 1)

Hadis daripada Abu Hurairah, katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Jangan kamu tolak orang yang meminta walaupun dia kafir; 

kata seorang sahabat: Ya Rasulullah, bahawa kami bersedekah dengan sesuatu dari harta kami kepada orang kafir? 

Jawab Nabi: Bahawa mereka adalah makhluk Allah. Sebenarnya sedekah itu jatuh pada tangan kudrat Tuhan Yang Rahman."

Malaikat berseru:

"Hai Tuhanku, segerakanlah gantikan harta orang yang bersedekah dan segerakanlah balasan bagi orang yang enggan (bakhil) bersedekah hartanya." (Hadis)

Sedekah bersembunyi itu memadamkan kemarahan Tuhan dan sedekah secara terang itu penghadang api neraka. Ulama berkata: Sedekah itu sepuluh kepujian; lima di dunia dan lima di akhirat.

Lima di dunia ialah:

1) Menyucikan hartanya
2) Menyucikan badannya
3) Menolak bala dan penyakit
4) Menggembirakan orang miskin dan menggembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal
5) Berkat hartanya dan diluaskan Allah rezekinya

Lima di akhirat iaitu:

1) Dinaungkan Allah orang bersedekah di hari kiamat ketika sangat panas
2) Ringan hisabnya
3) Berat timbangan amalannya di akhirat
4) Mudah melalui titi siratal-mustaqim
5) Bertambah darjatnya di dalam syurga

Sedekah itu menutup 70 pintu kejahatan. (Sabda Rasulullah)
[tambahan: ada kisah yang menarik untuk dibaca. Klik sini.]

Takutlah neraka walaupun dengan bersedekah sebelah kurma, kiranya tidak berupaya maka bercakaplah dengan perkataan yang baik (menjadi sedekah juga bagimu). (Al-Hadith)

bersambung...

Sumber: Syiar Islam, 3 Disember 2004 / 20 Syawal 1425

Friday, 28 June 2013

Tanda-tanda kebahagiaan & kecelakaan

TANDA-TANDA KEBAHAGIAAN

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Ketahuilah bahawasanya tanda kebahagiaan itu ada sebelas perkara:

Pertama: Zuhud terhadap dunia dan cinta terhadap akhirat

Ke-2: Sentiasa berkeinginan untuk ibadat dan membaca al-Qur'an

Ke-3: Sedikit bicara tentang hal yang tidak perlu

Ke-4: Sentiasa memelihara solat yang LIMA waktu

Ke-5: Bersikap wara' terhadap barang haram mahupun syubhat, sedikit atau banyak

Ke-6: Bersahabat dengan orang yang baik-baik

Ke-7: Berlaku tawadhu', tidak sombong (mari baca sedikit tentang tawadhu' di sini

Ke-8: Dermawan lagi pemurah

Ke-9: Bersifat belas kasihan terhadap makhluk yang diciptakan Allah

Ke-10: Menjadi orang yang bermanfaat bagi sesama makhluk

Ke-11: Banyak mengingati mati


ADAPUN TANDA-TANDA KECELAKAAN JUGA ADA SEBELAS

Pertama: Rakus dalam mengumpulkan harta

Ke-2: Keinginannya hanya akan menurutkan syahwat dan keenakan dunia semata-mata

Ke-3: Ucapannya kotor dan suka mengata orang

Ke-4: Meremehkan solat yang 5 waktu

Ke-5: Pergaulannya hanya dengan orang-orang yang berbuat dosa

Ke-6: Buruk budi pekertinya

Ke-7: Berlaku bongkak lagi sombong

Ke-8: Menolak manfaat dari sesama manusia

Ke-9: Sedikit belas kasihan terhadap orang-orang yang beriman

Ke-10: Kedekut / bakhil

Ke-11: Tidak ingat mati


Sumber: Syiar Islam, 26 Mei 1995 / 26 Zulhijjah 1415

Friday, 21 June 2013

Pintu rahmat dibuka pada malam Nisfu Syaaban (sambungan)

sambungan dari sini

Adalah sunat bagi seseorang itu melakukan sembahyang sunat dua rakaat Nisfu Syaaban, iaitu pada malam yang ke-15. Sembahyang ini hendaklah dilakukan setelah melakukan sembahyang Maghrib, iaitu setelah melakukan sembahyang sunat Ba'diyah. Sebutan niatnya ialah:

'Usolli sunnata lailata nisfi syaabana rak'ataini lillahi taala'

Ertinya:

"Aku sembahyang sunat malam nisfu syaaban dua rakaat kerana Allah Taala"

Surah yang perlu dibaca pada rakaat pertama ialah surah Al-Kafirun, manakala surah yang dibaca pada rakaat kedua ialah surah Al-Ikhlas. Sesudah memberi salam, bacalah doa Nisfu Syaaban.

Terjemahan doa. (maaf hamba tidak ada typeface Arab, jadi beri terjemahan saja ya)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekelian alam. Selawat dan salam atas semulia-mulia utusan, junjungan kami Muhammad s.a.w. dan atas keluarga juga sahabat-sahabatnya semua. 

Ya Allah, Tuhan yang membangkitkan dan tidak ada yang sanggup membangkitkan akan dia. Ya Tuhan yang mempunyai kebesaran lagi kemuliaan. Ya Tuhan yang Maha Pemurah memberi ni'mat-ni'mat, tidak ada Tuhan melainkan Engkau yang menolong orang-orang yang memohon pertolongan dan melindungi orang yang mengamankan daripada sekian yang ditakuti. Ya Allah, andainya Engkau telah tetapkan daku di sisiMu dalam kitab azali, bahawa aku celaka atau sedikit rezeki, terusir atau diharamkan akan daku, maka hapuskanlah. Ya Allah, dengan kelebihanMu, segala kecelakaan, sedikit rezeki dan pengusiran, serta kurang rezekiku itu, tetapkanlah daku di sisiMu dalam azali dengan kebahagiaan. Maka sesungguhnya Kau telah berkata, dan kata-kataMu yang telah Kau turunkan atas lidah nabiMu yang diutuskan. "Allah menghapuskan segala yang dikehendaki dan menetapkan dia di sisiNya di azali."

Ya Tuhanku, dengan keagunganMu, pada malam Nisfu Syaaban yang mulia ini, yang memisahkan padanya setiap yang tepat yang pasti, Engkau hindarkanlah ya Allah dari kami bala yang kami ketahui, juga yang Engkau lebih mengetahui dengannya, sesungguhnya Engkau Maha Mulia dan Maha Pemurah.

Selamat sejahtera atas junjungan kami Muhammad dan keluarga serta sahabat-sahabat beliau, juga mohon keselamatan dan segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekelian alam. 

Sumber: Syiar Islam, 28 September 2004 / 13 Syaaban 1425

Sunday, 16 June 2013

Pintu rahmat dibuka pada malam Nisfu Syaaban [BAHAGIAN 1]

Lima belas hari bulan Syaaban yang sering disebut dengan Nisfu Syaaban adalah termasuk hari besar Islam, kerana hari itu banyak mengandungi kelebihan dan Allah menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan kepada hambaNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Malaikat Jibril mendatangiku pada malam Nisfu (15) Syaaban, seraya berkata: hai Muhammad, malam ini pintu-pintu langit dan pintu rahmat dibuka. Bangunlah dan sembahyanglah, angkat kepalamu dan tadahkan dua tanganmu ke langit. 

"Aku bertanya; hai Jibril, malam apakah ini?"

Jibril menjawab: "malam ini dibukakan 300 pintu rahmat. Tuhan mengampuni segala kesalahan orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, kecuali tukang sihir, tukang nujum, orang yang bermusuhan, orang yang terus menerus minum khamar (arak), orang yang terus menerus berzina, memakan riba, derhaka kepada ibu dan bapa, orang yang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan silaturrahim. Tuhan tidak akan mengampuni mereka sampai mereka bertaubat dan meninggalkan kejahatan-kejahatan itu."

Rasulullah s.a.w. pun keluar, lalu mengerjakan solat dan menangis dalam sujudnya, seraya bermohon:

"Ya Tuhan, aku berlindung kepadaMu dari azab seksaanMu dan dari kemurkaanMu, tiada kubatasi pujian-pujian kepadaMu sebagaimana Engkau telah memuji diriMu. Maka bagiMu-lah segala pujian itu hingga Engkau redha."

(bersambung)

Thursday, 13 June 2013

Menjauhi perasaan dengki

Hati dalam pandangan Islam mempunyai kedudukan yang sangat penting. Hati yang telah rosak akan merosak semua perbuatan baik, serta mengeruhkan kejernihannya. Sedangkan dengan hati yang cerah dan bersih Allah s.w.t. akan memberkati rezeki yang diberikan kepada orang yang bersangkutan, walaupun hanya sedikit. Hati yang seperti itu akan mendatangkan kebajikan. Sepertimana Abdullah bin Amr meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

"Ada orang bertanya; Ya Rasulullah, orang yang bagaimanakah yang lebih afdhal?
Baginda menjawab: Orang yang hatinya bersih dan orang yang hatinya tidak berdusta.
Orang tersebut masih bertanya lagi: Mengenai lidah yang tidak berdusta kami telah mengerti, tetapi apakah maknanya hati yang bersih?'
Rasulullah s.a.w. menjelaskan: Iaitu hati yang penuh taqwa dan jernih, tidak dihinggapi dosa dan durhaka, tidak dengki dan tidak iri hati."

Ramai orang yang berhati dengki hangus terbakar oleh perasaannya sendiri yang selalu mendidih. Mereka selalu mementingkan soal-soal keduniaan, tetapi yang diinginkannya ternyata tidak tercapai. Dengan demikian jiwanya akan menanggung derita yang lebih berat lagi.

Islam melarang keras iri hati, dan Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya supaya sentiasa mohon perlindungan kepadaNya dari kejahatan orang-orang yang iri hati. Iri hati adalah ibarat bara api yang menyala di dalam dada, mengganggu ketenteraman orang yang bersangkutan sendiri dan sekalipun pula mengganggu ketenteraman orang lain. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Tidak ada rasa iri hati kecuali dalam dua hal: Seorang yang dikurniai harta kekayaan kemudian dihabiskannya dalam usaha menegakkan kebenaran. Dan seorang lagi dikurniai hikmah pengetahuan kemudia ia melaksanakan dan mengajarkannya kepada orang lain."

Yang dimaksudkan dengan hasad atau rasa iri dalam hadis tersebut ialah keinginan memperoleh ni'mat seperti orang lain, bukan rasa keinginan melihat orang lain kehilangan ni'mat. Ada kalanya orang berasa iri hati terhadap orang lain hanya kerana orang lain itu memperoleh kurnia yang dilimpahkan Allah kepadanya berupa bakat, atau keuntungan lainnya disebabkan oleh bakat yang baik.

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.
"Apabila seorang Muslim memberikan belanja kepada kaum keluarganya semata-mata kerana mematuhi Allah, maka ia akan mendapat ganjaran pahala."

Sumber: Syiar Islam, 18 Julai 2003 / 18 Jamadilawal 1424

Monday, 10 June 2013

Beberapa amalan pengisi Syaaban

Ada beberapa amalan yang patut dilakukan bagi mengisi bulan Syaaban yang mulia ini, iaitu:

1. Melakukan ibadat puasa.
Seluruh kaum Muslimin digalakkan agar berpuasa dalam bulan Syaaban ini bagi merebut pahala dan kebesaran yang telah Allah tawarkan. Nabi s.a.w. lebih banyak mengerjakan puasa dalam bulan Syaaban dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain, sesuai dengan penjelasan dari isteri baginda sendiri iaitu A'isyah r.a. yang bermaksud:

"Saya tidak melihat Rasulullah menyempurnakan puasa satu bulan penuh kecuali bulan Ramadhan, dan saya tidak melihat baginda berpuasa lebih banyak di bulan lain kecuali di bulan Syaaban." (Hadith Riwayat Syaikhan)

Memang cukup besar fadhilat orang-orang yang gemar dan rajin melaksanakan puasa, di mana pada hari kiamat nanti, mereka akan memasuki syurga melalui satu pintu bernama 'Royyan', sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Di dalam syurga terdapat lapan pintu. Di antaranya ada yang bernama Royyan. Tidak ada yang (boleh) masuk melalui pintu itu, kecuali orang-orang yang berpuasa." (Hadith Riwayat Bukhari)

2. Memelihara dan menjauhkan diri dari berbuat kedurhakaan.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Siapa yang memuliakan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah dan taat padaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkan dia di dalam satu itu dari semua bencana dan penyakit."

3. Memperbanyak selawat kepada Nabi s.a.w.
Seluruh umat Islam dianjurkan supaya banyak-banyak berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. di dalam bulan Syaaban. Ini kerana orang yang banyak membaca selawat kepada Nabi s.a.w. di bulan ini, oleh para malaikat dimintakan ampun kepada Allah s.w.t. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Apabila ada yang membaca selawat untuk saya di bulan Syaaban, maka Allah menyuruh salah satu malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari air itu serta mengibas-ngibaskan sayapnya sehingga menitis air itu dari bulu-bulunya yang banyak sekali. Tiap titis air itu diciptakan Allah satu malaikat yang memohon ampun baginya."
(Hadith Riwayat Nasa'i)

Oleh itu, marilah kita berusaha menghidupkan atau memanfaatkan bulan yang memiliki berbagai keutamaan tersebut, kerana barangsiapa yang menghidupkan bulan Syaaban, maka hatinya tidak akan mati sebagaimana di dalam sebuah hadith ada menjelaskan yang bermaksud:

"Siapa yang menghidupkan malam dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha)), dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak akan mati di saat hati semua orang mati."

Sumber: Syiar Islam, 23 September 2005 / 19 Syaaban 1426

Friday, 7 June 2013

Tuntutlah ilmu yang Allah redhai...

Sabda Nabi s.a.w. bermaksud:

"Menuntut ilmu itu adalah wajib di atas setiap Muslim."

"Barangsiapa menempeuh satu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah s.w.t. akan melorongkan baginya jalan ke syurga."

"Andaikata anda berangkat untuk mempelajari satu bab daripada ilmu pengetahuan, adalah lebih utama daripada anda bersembahyang seratus rakaat."

Daripada ketiga-tiga hadis di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa menuntut ilmu itu adalah wajib dan amat penting bagi umat Islam lelaki dan perempuan. Imam Syafie berkata bahawa menuntut ilmu itu adalah lebih utama daripada sembahyang sunat. Beliau menyatakan bahawa makanan hati ialah ilmu pengetahuan dan hikmat. Dan dengan kedua-dua itulah ia boleh hidup sebagaimana badan memerlukan makanan.

Seseorang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan hatinya akan menjadi sakit dan perjalanan hidupnya tidak dapat diteruskan dengan sempurna. Sebab itulah Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu, agar hati sentiasa tenang, bersih dan berkeupayaan.

Islam menggalakkan umatnya menuntut serta mempelajari semua jenis ilmu, samada ilmu agama atau sebagainya, sehingga menjadikan manusia itu sempurna. Islam juga tidak pernah menyekat umatnya menuntut ilmu, tidak kira bila masanya dan di mana-mana jua, asalkan ilmu-ilmu itu menjurus kepada kebaikan dan kepentingan umat seluruhnya.

Justeru, sangat perlu umat Islam hari ini berusaha menambah ilmu serta menggalakkan generasi akan datang supaya mempertingkat ilmu pengetahuan mereka dalam segenap bidang dengan niat yang suci untuk berkhidmat kepada agama, bangsa, dan negara, semata-mata kerana Allah s.w.t..

Menuntut ilmu pengetahuan ini sebenarnya bukanlah bertumpu kepada ilmu fardhu 'ain semata-mata. Menuntut segala ilmu lain yang ada kini, yang memberi kebaikan dan untuk kepentingan umum adalah wajib. Pentingnya ilmu pengetahuan jelas terbukti. Dengan itu, setiap orang Islam lelaki dan perempuan wajib menuntut ilmu pengetahuan.

Menuntut ilmu tidak setakat memasuki peperiksaan untuk mendapatkan sijil sahaja, malahan lebih daripada itu. Tetapi kebanyakan orang pada masa ini menuntut ilmu adalah untuk tujuan keduniaan semata-mata.

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Seutama-utama sembahyang sesudah yang wajib, sembahyang sunat di tengah malam.

Sumber: Syiar Islam, 15 Ogos 2003 / 17 Jamadilakhir 1424

Sunday, 2 June 2013

Tanda-tanda Cinta...

Apakah tanda-tanda seorang itu benar-benar menyintai Allah - bukan sekadar cinta hanya pada ucapan mulut sahaja. Di antara tanda-tanda seseorang itu benar-benar menyintai Allah ialah:

i) Mentaati perintah Allah

ii) Mentaati perintah Rasul

iii) Cintanya terhadap Allah, Rasul dan jihad melebihi cintanya terhadap ibu bapa, anak-anak, saudara-mara, isteri, keluarga, harta benda, kekayaan dan tempat tinggal

iv) Menyintai sesama manusia kerana Allah.

v) Bencinya terhadap kekufuran, seperti bencinya terhadap neraka.

vi) Tidak takut tercela, dibenci dan digertak oleh manusia

Apabila seseorang itu telah berasa cinta terhadap Allah s.w.t., maka Allah akan berasa cinta kepadanya. Perlu diingat bahawa menyintai Allah itu adalah setinggi-tinggi rahmat, iman dan taqwa. Setelah kita tahu tanda-tanda seorang itu menyintai Allah, apakah pula sebabnya mereka dapat menyintai Allah? Di antaranya ialah:

- Selalu ia membaca al-Qur'an dan memahami maknanya

- Selalu mendekati diri kepada Allah dengan menunaikan ibadat-ibadat sunat setelah menunaikan yang fardhu

- Sentiasa seronok (enak) apabila menunaikan ibadat

- Memperbanyak zikir dengan hati dan lidah serta amal yang digemari Allah

- Berjuang menundukkan hawa nafsu yang terang (nyata) yang bertentangan dengan keredhaan Allah

- Mempelajari nama-nama Allah, sifat dan perbuatanNya

- Sentiasa bersunyi diri, menghubungkan jiwa dan perasaan mereka dengan Allah

- Bermunajat dan bermohon dengan membaca firman-firman Allah dengan beradab dan bersopan, diakhiri dengan meminta ampun dan taubat

- Bergaul dengan orang yang soleh dan mendengar nasihat mereka

Maksud hadis Rasulullah s.a.w.:

"Siapa mengajar anaknya al-Qur'an dengan melihat, maka diampunkan baginya dosanya yang lalu dan yang akan datang."

Sumber: Syiar Islam, 8 Ogos 2003 / 10 Jamadilakhir1424