Ada beberapa amalan yang patut dilakukan bagi mengisi bulan Syaaban yang mulia ini, iaitu:
1. Melakukan ibadat puasa.
Seluruh kaum Muslimin digalakkan agar berpuasa dalam bulan Syaaban ini bagi merebut pahala dan kebesaran yang telah Allah tawarkan. Nabi s.a.w. lebih banyak mengerjakan puasa dalam bulan Syaaban dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain, sesuai dengan penjelasan dari isteri baginda sendiri iaitu A'isyah r.a. yang bermaksud:
"Saya tidak melihat Rasulullah menyempurnakan puasa satu bulan penuh kecuali bulan Ramadhan, dan saya tidak melihat baginda berpuasa lebih banyak di bulan lain kecuali di bulan Syaaban." (Hadith Riwayat Syaikhan)
Memang cukup besar fadhilat orang-orang yang gemar dan rajin melaksanakan puasa, di mana pada hari kiamat nanti, mereka akan memasuki syurga melalui satu pintu bernama 'Royyan', sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Di dalam syurga terdapat lapan pintu. Di antaranya ada yang bernama Royyan. Tidak ada yang (boleh) masuk melalui pintu itu, kecuali orang-orang yang berpuasa." (Hadith Riwayat Bukhari)
2. Memelihara dan menjauhkan diri dari berbuat kedurhakaan.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Siapa yang memuliakan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah dan taat padaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkan dia di dalam satu itu dari semua bencana dan penyakit."
3. Memperbanyak selawat kepada Nabi s.a.w.
Seluruh umat Islam dianjurkan supaya banyak-banyak berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. di dalam bulan Syaaban. Ini kerana orang yang banyak membaca selawat kepada Nabi s.a.w. di bulan ini, oleh para malaikat dimintakan ampun kepada Allah s.w.t. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Apabila ada yang membaca selawat untuk saya di bulan Syaaban, maka Allah menyuruh salah satu malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari air itu serta mengibas-ngibaskan sayapnya sehingga menitis air itu dari bulu-bulunya yang banyak sekali. Tiap titis air itu diciptakan Allah satu malaikat yang memohon ampun baginya."
(Hadith Riwayat Nasa'i)
Oleh itu, marilah kita berusaha menghidupkan atau memanfaatkan bulan yang memiliki berbagai keutamaan tersebut, kerana barangsiapa yang menghidupkan bulan Syaaban, maka hatinya tidak akan mati sebagaimana di dalam sebuah hadith ada menjelaskan yang bermaksud:
"Siapa yang menghidupkan malam dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha)), dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak akan mati di saat hati semua orang mati."
Sumber: Syiar Islam, 23 September 2005 / 19 Syaaban 1426
No comments:
Post a Comment