Friday, 7 June 2013

Tuntutlah ilmu yang Allah redhai...

Sabda Nabi s.a.w. bermaksud:

"Menuntut ilmu itu adalah wajib di atas setiap Muslim."

"Barangsiapa menempeuh satu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah s.w.t. akan melorongkan baginya jalan ke syurga."

"Andaikata anda berangkat untuk mempelajari satu bab daripada ilmu pengetahuan, adalah lebih utama daripada anda bersembahyang seratus rakaat."

Daripada ketiga-tiga hadis di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa menuntut ilmu itu adalah wajib dan amat penting bagi umat Islam lelaki dan perempuan. Imam Syafie berkata bahawa menuntut ilmu itu adalah lebih utama daripada sembahyang sunat. Beliau menyatakan bahawa makanan hati ialah ilmu pengetahuan dan hikmat. Dan dengan kedua-dua itulah ia boleh hidup sebagaimana badan memerlukan makanan.

Seseorang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan hatinya akan menjadi sakit dan perjalanan hidupnya tidak dapat diteruskan dengan sempurna. Sebab itulah Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu, agar hati sentiasa tenang, bersih dan berkeupayaan.

Islam menggalakkan umatnya menuntut serta mempelajari semua jenis ilmu, samada ilmu agama atau sebagainya, sehingga menjadikan manusia itu sempurna. Islam juga tidak pernah menyekat umatnya menuntut ilmu, tidak kira bila masanya dan di mana-mana jua, asalkan ilmu-ilmu itu menjurus kepada kebaikan dan kepentingan umat seluruhnya.

Justeru, sangat perlu umat Islam hari ini berusaha menambah ilmu serta menggalakkan generasi akan datang supaya mempertingkat ilmu pengetahuan mereka dalam segenap bidang dengan niat yang suci untuk berkhidmat kepada agama, bangsa, dan negara, semata-mata kerana Allah s.w.t..

Menuntut ilmu pengetahuan ini sebenarnya bukanlah bertumpu kepada ilmu fardhu 'ain semata-mata. Menuntut segala ilmu lain yang ada kini, yang memberi kebaikan dan untuk kepentingan umum adalah wajib. Pentingnya ilmu pengetahuan jelas terbukti. Dengan itu, setiap orang Islam lelaki dan perempuan wajib menuntut ilmu pengetahuan.

Menuntut ilmu tidak setakat memasuki peperiksaan untuk mendapatkan sijil sahaja, malahan lebih daripada itu. Tetapi kebanyakan orang pada masa ini menuntut ilmu adalah untuk tujuan keduniaan semata-mata.

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Seutama-utama sembahyang sesudah yang wajib, sembahyang sunat di tengah malam.

Sumber: Syiar Islam, 15 Ogos 2003 / 17 Jamadilakhir 1424

No comments:

Post a Comment