sambungan dari sini
Adalah sunat bagi seseorang itu melakukan sembahyang sunat dua rakaat Nisfu Syaaban, iaitu pada malam yang ke-15. Sembahyang ini hendaklah dilakukan setelah melakukan sembahyang Maghrib, iaitu setelah melakukan sembahyang sunat Ba'diyah. Sebutan niatnya ialah:
'Usolli sunnata lailata nisfi syaabana rak'ataini lillahi taala'
Ertinya:
"Aku sembahyang sunat malam nisfu syaaban dua rakaat kerana Allah Taala"
Surah yang perlu dibaca pada rakaat pertama ialah surah Al-Kafirun, manakala surah yang dibaca pada rakaat kedua ialah surah Al-Ikhlas. Sesudah memberi salam, bacalah doa Nisfu Syaaban.
Terjemahan doa. (maaf hamba tidak ada typeface Arab, jadi beri terjemahan saja ya)
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekelian alam. Selawat dan salam atas semulia-mulia utusan, junjungan kami Muhammad s.a.w. dan atas keluarga juga sahabat-sahabatnya semua.
Ya Allah, Tuhan yang membangkitkan dan tidak ada yang sanggup membangkitkan akan dia. Ya Tuhan yang mempunyai kebesaran lagi kemuliaan. Ya Tuhan yang Maha Pemurah memberi ni'mat-ni'mat, tidak ada Tuhan melainkan Engkau yang menolong orang-orang yang memohon pertolongan dan melindungi orang yang mengamankan daripada sekian yang ditakuti. Ya Allah, andainya Engkau telah tetapkan daku di sisiMu dalam kitab azali, bahawa aku celaka atau sedikit rezeki, terusir atau diharamkan akan daku, maka hapuskanlah. Ya Allah, dengan kelebihanMu, segala kecelakaan, sedikit rezeki dan pengusiran, serta kurang rezekiku itu, tetapkanlah daku di sisiMu dalam azali dengan kebahagiaan. Maka sesungguhnya Kau telah berkata, dan kata-kataMu yang telah Kau turunkan atas lidah nabiMu yang diutuskan. "Allah menghapuskan segala yang dikehendaki dan menetapkan dia di sisiNya di azali."
Ya Tuhanku, dengan keagunganMu, pada malam Nisfu Syaaban yang mulia ini, yang memisahkan padanya setiap yang tepat yang pasti, Engkau hindarkanlah ya Allah dari kami bala yang kami ketahui, juga yang Engkau lebih mengetahui dengannya, sesungguhnya Engkau Maha Mulia dan Maha Pemurah.
Selamat sejahtera atas junjungan kami Muhammad dan keluarga serta sahabat-sahabat beliau, juga mohon keselamatan dan segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekelian alam.
Sumber: Syiar Islam, 28 September 2004 / 13 Syaaban 1425
No comments:
Post a Comment