Thursday, 13 June 2013

Menjauhi perasaan dengki

Hati dalam pandangan Islam mempunyai kedudukan yang sangat penting. Hati yang telah rosak akan merosak semua perbuatan baik, serta mengeruhkan kejernihannya. Sedangkan dengan hati yang cerah dan bersih Allah s.w.t. akan memberkati rezeki yang diberikan kepada orang yang bersangkutan, walaupun hanya sedikit. Hati yang seperti itu akan mendatangkan kebajikan. Sepertimana Abdullah bin Amr meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

"Ada orang bertanya; Ya Rasulullah, orang yang bagaimanakah yang lebih afdhal?
Baginda menjawab: Orang yang hatinya bersih dan orang yang hatinya tidak berdusta.
Orang tersebut masih bertanya lagi: Mengenai lidah yang tidak berdusta kami telah mengerti, tetapi apakah maknanya hati yang bersih?'
Rasulullah s.a.w. menjelaskan: Iaitu hati yang penuh taqwa dan jernih, tidak dihinggapi dosa dan durhaka, tidak dengki dan tidak iri hati."

Ramai orang yang berhati dengki hangus terbakar oleh perasaannya sendiri yang selalu mendidih. Mereka selalu mementingkan soal-soal keduniaan, tetapi yang diinginkannya ternyata tidak tercapai. Dengan demikian jiwanya akan menanggung derita yang lebih berat lagi.

Islam melarang keras iri hati, dan Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya supaya sentiasa mohon perlindungan kepadaNya dari kejahatan orang-orang yang iri hati. Iri hati adalah ibarat bara api yang menyala di dalam dada, mengganggu ketenteraman orang yang bersangkutan sendiri dan sekalipun pula mengganggu ketenteraman orang lain. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Tidak ada rasa iri hati kecuali dalam dua hal: Seorang yang dikurniai harta kekayaan kemudian dihabiskannya dalam usaha menegakkan kebenaran. Dan seorang lagi dikurniai hikmah pengetahuan kemudia ia melaksanakan dan mengajarkannya kepada orang lain."

Yang dimaksudkan dengan hasad atau rasa iri dalam hadis tersebut ialah keinginan memperoleh ni'mat seperti orang lain, bukan rasa keinginan melihat orang lain kehilangan ni'mat. Ada kalanya orang berasa iri hati terhadap orang lain hanya kerana orang lain itu memperoleh kurnia yang dilimpahkan Allah kepadanya berupa bakat, atau keuntungan lainnya disebabkan oleh bakat yang baik.

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.
"Apabila seorang Muslim memberikan belanja kepada kaum keluarganya semata-mata kerana mematuhi Allah, maka ia akan mendapat ganjaran pahala."

Sumber: Syiar Islam, 18 Julai 2003 / 18 Jamadilawal 1424

No comments:

Post a Comment