Allah menyediakan 7 pintu neraka jahannam. Menurut ulama, 7 pintu neraka itu disediakan untuk anggota tubuh kita yang juga mengandungi 7 anggota utama - mata, telinga, lidah, perut, tangan, kemaluan, dan kaki.
Mata adalah pemberian Allah yang amat besar dan tidak terkira nilainya. Dengan mata kita dapat menyaksikan tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t. supaya kita lebih bertakwa. Mata dianugerahkan bukan untuk melihat wanita yang bukan mahram, wanita seksi, memandang keaiban masyarakat yakni memandang dengan secara menghina kepada saudara Muslim yang serba kekurangan.
Telinga pula hendaklah dipelihara daripada mendengar umpat keji, percakapan kotor atau perkara bid'ah. Gunakanlah telinga untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an dan kalimah Allah atau untuk tujuan menuntut ilmu agama.
Lidah hendaklah digunakan untuk berzikir, memuji kebesaran Allah s.w.t. serta menyampaikan kebenaran kepada sesama manusia dan menyeru ke jalan Allah. Lidah juga hendaklah digunakan bagi menyampaikan ilmu agama dan bukan untuk memfitnah sesama sendiri. Kalau kita tidak menjaga lidah yakni lisan kita, ini amat buruk risikonya, kerana ia boleh menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini, yang akibatnya menjerumuskan kita ke dalam neraka.
Dusta adalah ibu segala dosa dan perbuatan itu boleh mendatangkan pertengkaran dan menjejaskan kewibawaan kita serta kepercayaan masyarakat kepada kita.
Perut, memelihara perut juga amat penting. Kita hendaklah mengelakkannya daripada diisi dengan makanan haram. Perut juga jangan diisi berlebih-lebihan kerana perbuatan demikian boleh memudharatkan, seperti membekukan hati, melemahkan badan dan membuatkan kita malas untuk beribadat. Sebab itulah Islam menggalakkan kita supaya bersederhana di dalam semua perkara, termasuk juga apabila menghadapi makanan. Kita hendaklah mengisi perut kita dengan rezeki yang halal.
Kemaluan, kita hendaklah memeliharanya daripada segala perkara yang haram. Tutuplah aurat dan jauhkan daripada menonton filem lucah yang menaikkan nafsu syahwat. Bahaya menanti jika kita tidak dapat lagi mengawal lonjakan nafsu syahwat. Akhirnya akan berlakulah kejadian seperti mencabul kehormatan dan rogol - perbuatan yang amat dikutuk Allah.
Tangan yang diberikan oleh Allah juga hendaklah dipelihara dan digunakan untuk perkara-perkara kebaikan seperti menolong orang, mencari rezeki halal, menentang segala kezaliman, menulis perkara yang baik, umpamanya menulis ilmu pengetahuan dan panduan untuk masyarakat - bukan menulis kejahatan orang serta memfitnah sesama Muslim.
Kaki, gunakanlah kaki untuk menuju ke jalan yang Allah redhai, bukan untuk ke tempat-tempat maksiat seperti disko, kelab malam, rumah urut, dan tempat perjudian. Gunakanlah ia untuk ke masjid bagi berjemaah, meramaikan majlis kenduri dan segala macam bentuk kebaikan. Maka gunakanlah kaki untuk melangkah ke syurga.
Sumber: Syiar Islam, 28 Mei 2004 / 8 Rabiul Akhir 1425
--------------------------------------------------------------
Kata hamba...
Kita jarang memperhatikan dosa-dosa yang anggota badan sering lakukan. Pada hemat hamba, mungkin kerana kita kadangkala ada pemikiran, "aku tidak berdosa kepada orang apabila aku buat ini dan itu, aku tidak menzalimi sesiapa". Tetapi ingatlah bahawa sesetengah perkara yang tidak kita jaga itu, adalah menzalimi diri kita sendiri.
Kalaupun kita tidak peduli menzalimi diri sendiri ataupun sesiapa, ingatlah untuk menjauhi larangan Allah. Kerana itulah yang sepatutnya menjadi 'benchmark' paling kuat untuk menghindarkan kita dari perkara-perkara yang keji dan mungkar.
Semoga perkongsian hari ini memberi manfaat kepada para pembaca dan kepada diri hamba juga. Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan sebarang kekurangan itu adalah dari diri hamba sendiri.
No comments:
Post a Comment