Hati yang lembut adalah tapak yang baik untuk menerima segala ajaran dan peringatan dari Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, menyambut baik semua nasihat. Malah, hati yang lembut juga adalah jambangan yang subur bagi iman, bagi tertegaknya sifat-sifat taqwa yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Hati yang keras itu biasanya dikaitkan dengan pengaruh syaitan atau iblis, kerana iblis itu dijadikan daripada api, bahang api itu memberi kesan buruk terhadap hati. Apabila hati sudah keras, menyebabkan sukar untuk mendengar dan membenarkan firman Allah, sulit untuk menerima nasihat Rasulullah.
Orang-orang yang beriman itu dikehendaki agar berusaha untuk mencari sesuatu yang dapat melembutkan hati, menjauhkan sebarang perkara yang boleh mempengaruhi hati dari ingat akan Allah dan Rasul-Nya.
Kehidupan di dunia terlalu banyak perkara yang boleh mempengaruhi hati sehingga boleh melalaikannya dari mengingati Allah. Dunia adalah di antara anasir yang boleh mempengaruhi hati. Yang dimaksudkan dengan dunia dalam huraian ini ialah setiap perkara yang tidak membawa kebaikan kepada manusia di akhirat, ini dunia yang dipandang tidak berharga oleh Rasulullah s.a.w.
Dunia bukanlah terhenti kepada persoalan benda, kerana ada ketikanya urusan akhirat akan bertukar menjadi dunia. Sebagai contoh, ibadah solat adalah suatu kefardhuan dari Allah, walaubagaimanapun, apabila solat itu didirikan kerana hendak menunjuk kepada manusia atau riak, maka solat yang demikian itu tidak mendatangkan sebarang kebajikan untuk akhirat, bahkan Allah menjanjikan neraka kepada orang itu kerana urusan akhiratnya sudah bertukar menjadi dunia.
Wallahualam
-------------
Fadhilat membaca Surah Ar-Ra'd
"Barangsiapa membaca ayat 13 dari surah ini, ia akan terselamat dari petir."
Tafsiran ayat 13 Surah Al-Ra'd:
Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki, dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya.
"Barangsiapa membaca ayat 28 dari surah ini, nescaya penyakit jantungnya akan sembuh."
Tafsiran ayat 28 Surah Al-Ra'd:
...orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.
Sumber: Syiar Islam 29 Julai 2005 / 22 Jamadilakhir 1426
----------------------------------------------------------------
Kata hamba...
Bukan mudah untuk kita miliki hati yang lembut kerana sering saja hati yang lembut itu ditipu, ditikam, dilukai, dan dipandang enteng. Tetapi janganlah berputus asa untuk menjadi lembut hati kerana lembut hati itu lebih dekat kepada kebaikan. Bukan kita yang rugi jika diri kita dijahati orang. Kesabaran pasti akan membuahkan ketenangan jiwa dan kemenangan hakiki :)
Sesungguhnya, segala yang baik itu datangnya dari Allah dan sebarang kekurangan itu datangnya dari diri hamba sendiri.
No comments:
Post a Comment