Wednesday, 27 March 2013

Neraka Wail bagi yang melambatkan sembahyang...

Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:


"Apabila seseorang itu tidur, iblis akan mengikat di atas kepala orang yang berkenaan tiga ikatan. Iblis berkata, kau mempunyai masa tidur yang panjang. Tidurlah. Apabila orang yang berkenaan terjaga dari tidur, lalu menyebut nama Allah, maka terurailah satu ikatan. Apabila dia berwudhuk, maka terurailah ikatan yang kedua dan apabila orang yang berkenaan menunaikan solat, terurailah ikatan yang ketiga. Maka dengan demikian orang yang berkenaan akan menghadapi waktu pagi dalam keadaan cergas, kalau tidak dia akan menghadapi waktu pagi dengan malas dan monyok."

Sa'd bin Abi Waqas, seorang daripada 10 orang yang dijanjikan syurga, beliau telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang mereka yang lalai terhadap sembahyang. Baginda menjawab, mereka itu adalah orang yang melambat-lambatkan sembahyang. Mereka sembahyang tetapi mengambil ringan menyebabkan terjadinya sembahyang di akhir waktu. Allah menjanjikan mereka 'Neraka Wail' iaitu satu neraka yang amat sakit azabnya. Sesetengah ulama menyatakan neraka wail adalah satu lembah yang terdapat dalam neraka Jahannam. Seandainya dilalukan bukit-bukit di dunia ini di atasnya, nescaya cair semuanya kerana sangat panas. Neraka itu adalah tempat tinggal mereka yang lalai terhadap ibadah sembahyang kecuali mereka yang menyesal dan bertaubat.

Ahli-ahli tafsir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan 'mengingati Allah' itu adalah sembahyang lima waktu. Maka barangsiapa yang sibuk dengan hartanya, dengan berjual beli, urusan harian dalam kehidupannya, juga urusan anak-anaknya, daripada mendirikan sembahyang pada waktunya, maka mereka adalah termasuk dalam golongan orang yang rugi.

Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Baginda s.a.w. ada bersabda:

"Barangsiapa mengumpulkan dua sembahyang tanpa uzur, maka dia sesungguhnya telah mendatangi satu pintu yang besar daripada pintu-pintu dosa besar."

Memang benar, orang yang melambat-lambatkan sembahyang itu telah menunaikan kewajipan yang tertanggung di atasnya, tetapi berdasarkan kepada dalil-dalil al-Qur'an dan juga hadis-hadis, mereka yang berbuat demikian diberi amaran oleh Allah dengan azab yang pedih. Ini memperlihatkan bahawa mereka tetap berdosa. Dalam masa yang sama, ditakuti orang yang terlibat meninggal dunia sebelum sempat mendirikan sembahyang padahal waktunya telah tiba.

Sebenarnya tidak ada formula atau petua bagi orang yang suka melambat-lambatkan sembahyangkecuali terus bangun mengerjakan sembahyang sebaik-baik sahaja masuk waktunya. Selain daripada itu, kesedaran tentang dosa dan amaran Allah ke atas mereka yang bertabiat sedemikian rupa boleh menginsafkan diri sendiri.

Sumber: Syiar Islam, 24 Disember 2004 / 12 Zulkaedah 1425
-------------------------------------------------------------------

Astaghfirullahal'azim...bukankah ini perkara yang sering kita ringankan lagi-lagi sewaktu kita bekerja. Kadang-kadang dorongan kerja itu membuatkan kita melambatkan solat sehingga terjadilah 'combo' solat Zuhur dan Asar. Astaghfirullahal'azim...kadang kita melepas pandang terhadap perkara yang penting ini.

Marilah kita mencuba sedaya upaya kita untuk mementingkan waktu solat lebih dari yang lain. Mari mulakan sedikit demi sedikit, in shaa Allah, lama-kelamaan pasti akan ok :)

Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat buat para pembaca. Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala sebarang keburukan itu datangnya dari diri hamba sendiri.

No comments:

Post a Comment