Friday, 8 March 2013

Orang berilmu tidak sombong...

Ilmu adalah anugerah Allah kepada setiap makhluk yang bergelar manusia. Dengan ilmu juga manusia berkuasa, berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut. Allah berkuasa pula mencabut, menghina dan memuliakan sesiapa yang dikehendakinya. Oleh yang demikian, janganlah seseorang itu sombong, angkuh, bongkak serta membangga diri atau mendabik dada dengan ilmu yang sedikit itu lalu mudah menghina orang lain yang lebih rendah daripadanya.

Seseorang yang mencintai ilmu, hatinya sentiasa terpaut pada majlis ilmu walaupun jarak jauh yang harus ditempuh, tenaga yang harus diperah, perbelanjaan yang harus dikeluarkan dan masa yang perlu dikorbankan. Namun untuk menuntut ilmu, semuanya itu tidak diambil kira, di samping itu, janganlah lupa bahawa mereka yang menuntut ilmu mempunyai satu amanah yang berat, berkewajipan pula untuk menyampaikan ilmu yang dituntut kepada mereka yang tidak hadir dalam majlis itu (ertinya, ilmu yang dituntut di majlis-majlis ilmu bukanlah hanya untuk dirinya sendiri sahaja).

Sampaikanlah samada melalui mata pena (penulisan) atau dengan lidah yang mana tuntutan ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Sampaikanlah daripadaku (meskipun satu ayat)"

Mereka yang mempunyai ilmu keagamaan wajib menyampaikannya, tidak boleh disembunyikan walau satu ayat pun sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu itu lalu disembunyikan akan dia, nescaya Allah akan mengalungkan pada hari kiamat dengan kalungan dari neraka."

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Siapa yang menuntut ilmu untuk menandingi para ulama atau mendebat orang-orang yang jahil atau untuk memalingkan pandangan oorang kepadanya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka jahannam."

Sumber: Syiar Islam 27 Mei 2003 / 25 Rabiulawal 1424

-------------------------------------------------------------------------
Kata Hamba...

Bukalah hati kita untuk mendengar ilmu dan nasihat daripada mereka yang lebih berilmu. Jangan terlalu defensive akan tetapi ambillah pengajaran...sebab hakikatnya memang banyak yang kita tak tahu, tapi kadang-kadang kita 'terasa' bila ada orang nak mengajar kita. Terimalah dengan hati terbuka :) (pesanan untuk diri sendiri lebih-lebih lagi)

Semoga pembaca mendapat manfaat daripada perkongsian hamba hari ini. Maafkan hamba kerana terlewat mengemaskini. Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah dan sebarang keburukan itu datang dari diri hamba sendiri.

No comments:

Post a Comment