Friday, 22 March 2013

Kemurahan Hati dan Keutamaannya...

Siti Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, yang bermaksud:

"Kedermawanan adalah umpama sebatang pohon yang akarnya terhunjam ke syurga dan tangkainya bergantung di dunia. Barangsiapa bergantung kepada tangkainya maka ia akan ditariknya ke syurga. Adapun sifat kikir adalah seumpama sebatang pohon yang terhunjam ke neraka, dan cabang-cabangnya bergantung di dunia, maka barangsiapa yang bergantung dengannya ia akan tertarik ke neraka."

Sabdanya lagi:

"Bersedekahlah untuk dirimu dan bekal matimu walaupun setengah air, dan apabila tidak mampu, maka dengan satu ayat al-Qur'an pun jadilah. Dan apabila tidak tahu sedikitpun tentang sesuatu dari al-Qur'an maka berdoalah minta ampun dan rahmat dari Allah, pasti akan dikabulkan, kerana Allah telah berjanji akan mengabulkan."

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa yang bersedekah sebesar biji kurma yang dihasilkan dengan jerih payah dan halal, maka Allah akan menerimanya dengan tangan kananNya, kemudian memelihara dan menjaganya seperti kamu sekalian memelihara kudamu."

Maksud daripada hadis ini adalah bahawa Allah akan memelihara harta orang yang mahu bersedekah dan memberkatinya bahkan menambah pahala sedekah tersebut.

Sabdanya lagi dalam hadis yang lain:

"Sedekah itu dapat menutup 70 pintu kejahatan."

Pahala sedekah dapat dibahagi kepada 4 bahagian:-

i - Sedekah yang mendapat pahala sepuluh
ii - Sedekah yang mendapat pahala tujuh puluh
iii - Sedekah yang mendapat pahala tujuh ratus
iv - Sedekah yang mendapat pahala tujuh ribu

Sedekah pertama yang mendapat sepuluh pahala berupa pemberian makanan terhadap fakir miskin.

Sedekah kedua yang mendapat pahala sampai tujuh puluh adalah sedekah yang diberikan kepada sanak saudara yang terdekat.

Sedekah ketiga yang mendapat pahala tujuh ratus adalah sedekah yang diberikan kepada kawan-kawan dan sahabat.

Sedekah keempat yang memperolehi pahala sehingga tujuh ribu adalah sedekah yang diberikan kepada orang yang sedang menuntut ilmu.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa yang mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaannya, dan barangsiapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya, dan barangsiapa yang mempunyai tenaga, maka bersedekahlah dengan tenaganya."

Sumber: Syiar Islam, 25 Februari 2005 / 16 Muharram 1426 

No comments:

Post a Comment