Penawar untuk mengekang lidah dari mengumpat orang iaitu hendaklah seseorang itu mengetahui bahawa suka mengumpat itu akan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Allah Taala. Apabila ia mengumpat orang, samalah seperti ia melanggar perintah atau larangan Allah. Maka apabila seseorang itu penuh percaya dengan khabar-khabar dan berita-berita yang menegahnya dari ghibah atau mengumpat, hendaklah ia memelihara lidahnya dari mengumpat, kerana takut terjatuh ke dalam dosa. Suatu cara lain yang berguna baginya ialah dengan meneliti diri sendiri terlebih dahulu, apakah dalam dirinya itu ada atau tidak keaiban atau keburukan-keburukan. Jika ada, tentulah lebih utama ia membetulkan diri sendiri daripada mengumpat orang lain.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Bertuahlah orang yang sentiasa bekerja kuat untuk membetulkan diri sendiri, daripada menyebut-nyebut keaiban orang lain."
Apabila terdapat pada diri seseorang sesuatu keburukan, maka sepatutnya ia merasa malu kerana lalai untuk membetulkan diri sendiri, sebaliknya mencuba pula untuk membetulkan orang lain. Seterusnya, hendaklah ia faham, bahawa jika ia mendapati orang lain itu bersikap lemah, atau tidak berdaya untuk membetulkan dirinya, mungkin ia juga tidak kurang lemahnya atau tak berdaya untuk membetulkan dirinya sendiri. Ini jika keaiban atau keburukan itu dilakukan oleh orang itu dengan sengaja dan dengan pilihan sendiri, bukan terpaksa. Tetapi jika keaiban atau keburukannya itu memang dari asal semulajadinya, maka mencelanya samalah seperti mencela Tuhan yang menjadikannya. Barangsiapa yang mencela sesuatu ciptaannya, maka ia telah mencela penciptanya.
Cara yang lain untuk menjaga diri dari ghibah, ialah dengan memahami, bahawa orang yang dicelanya itu akan merasakan pedihnya celaan itu, sama seperti dirinya sendiri bila dicela oleh orang lain. Jika sekiranya ia tidak meredhai orang lain mencelanya, maka sewajarnyalah ia juga tidak meredhai sesuatu bagi orang lain, sebagaimana tidak diredhainya sesuatu itu bagi dirinya sendiri. Sesiapa yang memang kuat keimanannya, tentulah lidahnya akan terpelihara dari ghibah atau mengumpat.
Sumber: Syiar Islam 16 Julai 2004 / 28 Jamadil Awal 1425
-------------------------------------------------------------
Kata hamba...
Aduhai, sungguh memang sukar sekali untuk mengelak diri dari mengumpat tetapi itu tidak harus dijadikan alasan. Sebenarnya umum mengetahui mengumpat itu salah tetapi tetap juga dilakukan atas sebab-sebab geram dan tak suka dengan orang tertentu dan perbuatannya. Maka oleh itu bagaimana mahu mengelak diri? Nah, sebab itulah hamba kongsikan artikel di atas ^_^
Sebenarnya salah satu sumpahan apabila kita mengumpat dan mengeji orang lain ialah, kita akan terikut-ikut menjadi seperti apa yang telah kita umpat-umpatkan tentang dia. Pada masa itu, cuba bayangkan betapa dahsyatnya perasaan yang kita alami bila menyedarinya. Tetapi jika tidak menyedarinya adalah lebih teruk kerana kita akan terhanyut begitu sahaja.
Oleh itu, setiap kali kita ketemu perkara yang tidak kita sukai, berdoalah agar kita tidak terdorong melakukan perkara-perkara itu, dan jikalau perkara itu keji lagi zalim, maka berdoalah agar Allah membuka hati dan jalan yang lurus buat si penzalim (dan tak lupa juga doa mohon Allah lindungi kita daripada melakukan perkara-perkara keji yang menyimpang dari jalan-Nya.
Bukan senang kita nak berhenti terus dari berkata-kata tentang orang. Tapi tak mustahil. Selagi kita nekad dan berusaha nak menjadi insan yang lebih baik dan diredhai Allah, tidak mungkin Allah akan menutup jalan kebaikan itu.
Ada sepotong doa dari Surah Ali 'Imran, ayat 8. Amalkanlah, semoga kita semua sentiasa di dalam redha-Nya.
"...Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah pada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia)."
Semoga pembaca mendapat manfaat dari pembacaan hari ini. Maafkanlah hamba seandainya ada kata-kata hamba yang mengguris perasaan. Hamba tidak lepas dari membuat kesalahan. Ambillah yang baik dan tinggalkan yang buruk. Sesungguhnya segala yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu adalah dari diri hamba sendiri.
No comments:
Post a Comment