Abu Hurairah r.a. berkata, ia mendengar bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Siapakah di kalangan kamu yang hendak menerima beberapa intisari pengajaran dariku, sama ada kamu lakukan sendiri atau kamu ajar kepada orang lain."
Lalu aku (Abu Hurairah) pun menawarkan diri sanggup menerima intisari ajaran itu, kemudian nabi pun memegang lima jari tanganku dari jari kelingking hingga ke ibu jari lalu bersabda:
"Ingatlah, jangan sekali-kali melakukan yang haram, orang yang meninggalkan perkara yang haram itu, mereka adalah orang yang kuat ibadah."
Dalam masyarakat umum, lazimnya orang dianggap kuat ibadah ialah mereka yang sering melakukan ibadah puasa sunat, solat sunat, berwirid dan berzikir, bangun malam melakukan solat tahajjud dan sebagainya. Tetapi Rasulullah pula menyifatkan orang yang berusaha sedaya upaya meninggalkan yang haram itu sebenarnya orang yang kuat ibadahnya.
Meninggalkan yang haram bukanlah suatu perkara yang mudah, setiap langkah manusia bergerak, mereka akan bertemu dengan perkara yang haram, terutama dalam urusan muamalah. Riba tidak lagi menggerunkan hati apabila seseorang itu terlibat ke dalamnya, lebih-lebih lagi bila perkataan 'riba' jarang lagi disebut, kerana ianya sudah ditukar dengan istilah lain seperti 'bunga' atau 'faedah'. Orang sudah melupakan bagaimana istilah riba itu boleh bertukar, sedangkan pertukarannya adalah suatu penyelewengan yang nyata terhadap syariat Allah.
Dalam suasana demikian, jika seseorang itu mampu menghindarkan diri dari terlibat dengan riba, sesungguhnya merekalah orang yang mempunyai ketahanan iman, malah mereka disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai orang yang kuat ibadahnya.
Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dirinya hanya mampu melakukan yang wajib dan meninggalkan yang haram, sebaliknya tidak melakukan amalan-amalan sunat, adakah dia akan masuk syurga? Nabi s.a.w. menjawab dengan ringkas:
"Masuk".
Demikian besarnya tanggungjawab meninggalkan yang haram di samping melakukan yang wajib itu.
Sumber: Syiar Islam, 17 Jun 2005 / 10 Jamadilawal 1426
---------------------------------------------------------------------------
Kata Hamba...
Kehidupan kita hari ni, kalau nak dilihat memang benda haram di mana-mana. Seperti riba yang disebutkan di atas, nak beli kereta pun ada riba. Tapi satu kesulitan ialah apabila kereta tu sudah seperti satu keperluan. Oleh itu, bukanlah hamba nak membebel supaya jangan beli kereta, tetapi kalau kita sudah punyai kereta tak perlulah setiap beberapa tahun nak ganti baru. Kan itu akan membuka 'akaun riba' yang baru? Hutang yang baru? Tidakkah susah hati kita?
Lihat kepada fungsinya, mengapa kita perlukan dia. Bukan kerana godaan barunya, kehendak hati yang melonjak-lonjak nak pakai yang mahal, baru lagi cantik. Cuba kita ingat balik masa kita susah dulu, kita fikir "kalaulah aku ada kereta, boleh blablablabla". Maksudnya kita menginginkan dia kerana kegunaannya.
Hamba faham, kalau kereta dah lama enjin banyak buat hal. Bocor sana sini, kejap problem, kejap gegar-gegar tak tentu pasal. Tapi kereta itu masih boleh berjalan kan? Boleh bawa pergi pasar lagi, boleh bawa ambil anak balik sekolah lagi. Lainlah kalau dah tahap berbahaya, itu bolehlah difikirkan mana yang patut.
Pendek kata, tinggalkanlah yang haram. Kalau sukar ditinggalkan semua, tinggalkan sedikit demi sedikit. Selalunya perkara haram ini akan menjerut diri sendiri.
Semoga kita sentiasa dilindungi-Nya dalam usaha memerangi hawa nafsu yang jahat.
Semoga perkongsian hari ini memberi manfaat buat pembaca. Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t. dan sebarang keburukan itu dari diri hamba sendiri.
No comments:
Post a Comment