Baginda Rasulullah s.a.w. menggesa umat Islam agar memperbanyak puasa, menghidupkan malam Rejab dengan beribadah, bersembahyang dan sebagainya. Ganjaran bagi mereka yang berbuat demikian amatlah besar. Di antara kelebihan orang yang menghidupkan malam Rejab dengan amalan ibadah ialah:
i. Orang yang berkenaan akan terus beriman kepadaNya. Allah s.w.t. pula akan melimpahkan kebajikan serta membersihkan dosa orang yang berkenaan. Ini dijelaskan dalam sebuah hadith yang bermaksud:
"Barangsiapa menghidupkan malam pertama bulan Rejab (dengan ibadah) nescaya hatinya tidak akan mati. Allah s.w.t. melimpahkan kebajikan daripada atas kepalanya dan dibersihkan daripada dosa-dosanya seperti pada hari ibunya melahirkannya. Dia akan memberi pertolongan tujuh puluh ribu orang yang berdosa, yang seharusnya masuk neraka."
ii. Allah s.w.t. juga menjanjikan keselamatan diri dan keluarga orang yang beribadah dengan melakukan sembahyang pada bulan ini daripada bala dunia dan azab akhirat. Keterangan ini dijelaskan dalam sebuah hadith dari Anas bin Malik yang bermaksud:
"Barangsiapa bersembahyang selepas Maghrib pada malam bulan Rejab dua puluh rakaat, dengan membaca pada tiap rakaat Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas, dan memberi salam dengan sepuluh salam, nescaya Allah Taala memelihara akan dia, anggota keluarga dan orang yang menjadi tanggungannya daripada bala dunia dan azab akhirat."
iii. Selain dijauhkan daripada bencana dunia, amalan puasa yang dilakukan pada bulan ini juga akan dibalas oleh Allah s.w.t. dengan memelihara orang yang berkenaan daripada sakit-sakit tertentu, seperti yang disebutkan dalam hadith yang bermaksud:
Ketahuilah sesungguhnya bulan Rejab itu bulan Allah yang tertutup. Barangsiapa berpuasa padanya satu hari dengan penuh keyakinan dan ikhlas pasti mendapat keredhaan yang besar dari Allah,
dan barangsiapa berpuasa 2 hari, para penghuni langit dan bumi tidak akan memberinya penilaian, dia mendapat kemuliaan di sisi Allah.
Barangsiapa berpuasa 3 hari, ia akan diselamatkan daripada bahaya benca"na dunia dan azab akhirat, penyakit gila, sopak, jauh dari fitnah dajjal.
Barangsiapa berpuasa 7 hari, ditutup daripadanya 7 pintu neraka jahannam.
Barangsiapa berpuasa 8 hari, dibuka baginya 8 pintu syurga.
Barangsiapa berpuasa 10 hari ia tidak meminta dari Allah sesuatu melainkan dikabulkan;
dan barangsiapa berpuasa 15 hari nescaya Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya yang terdahulu dan menggantikan kejahatan itu dengan kebaikan;
dan barangsiapa yang menambah (hari puasa), maka Allah akan menambah balasannya.
(Bersambung)
Sumber: Syiar Islam, 5 Ogos 2005 / 29 Jamadilakhir 1426
No comments:
Post a Comment