Friday, 24 May 2013

Mari usaha menjaga aurat

Masalah pendedahan aurat masih juga tidak selesai walaupun banyak seruan dan cadangan untuk membasminya. Malah nampaknya gejala tidak baik ini semakin hari semakin hebat menyerang masyarakat kita. Perkara ini bukanlah tuduhan yang melulu dan tidak berasas atau satu niat untuk memburuk-burukkan masyarakat sendiri. Kalau dahulu agak susah kita hendak berjumpa orang yang mendedahkan aurat di kampung-kampung kerana masalah ini banyak melibatkan masyarakat bandar, tetapi sekarang di kampung dan di bandar tidak banyak bezanya.

Realiti inilah yang membuktikan bahawa minat mendedah aurat semakin kuat menyerap dalam kehidupan masyarakat kita, malah bukan semakin berkurangan. Apabila diperhatikan lagi, kita dapati kalangan muda-mudilah yang banyak melakukan pendedahan aurat dan mereka tergolong kepada dua golongan, iaitu golongan yang masih dalam persekolahan dan belum lagi mendirikan rumahtangga; dan satu golongan lagi mempunyai keluarga, tidak begitu ramai yang suka mendedahkan aurat.

Walau bagaimanapun dalam masa dan keadaan tertentu mereka juga ikut melakukannya, maksudnya ketika bersukan dan berjalan-jalan mengambil angin petang, namun pendedahan aurat di kalangan mereka ini tidak sampai ke peringkat yang amat menyakitkan mata memandang sebagaimana yang sering dilakukan oleh muda mudi.

Ada beberapa sebab tertentu yang benar-benar mempengaruhi fikiran, minat dan seterusnya tindakan mereka, antaranya ialah:

1) Cara bersukan

2) Pendedahan aurat di kalangan masyarakat di seluruh dunia yang mereka saksikan melalui media massa setiap hari

3) Tidak ada pengetahuan mengenai pandangan agama berkaitan dengan sikap mendedahkan aurat.

4) Sikap ibu bapa yang tidak melarang anak-anak mereka yang mendedahkan aurat itu.

Itulah empat sebab utama yang difikirkan begitu mempengaruhi muda-mudi atau masyarakat kita dalam masalah pendedahan aurat. Moga-moga kita dapat menjaga diri masing-masing daripada pendedahan aurat yang dilarang oleh agama.

Sumber: Syiar Islam, 9 April 2004 / 19 Safar 1425

-------------------------------------------------------------------
Kata Hamba...

Ada sedikit bahagian dalam artikel di atas yang hamba kurang dapat menafsirkan. Semoga pembaca dapat memahami semuanya dengan baik. Jika terdapat sebarang kekurangan, rujuklah pada yang lebih arif.

Sebenarnya, pada hemat hamba, kebanyakan kaum Hawa memang mengetahui tentang perintah menutup aurat ini. Izinkan hamba berkata-kata menurut pengalaman hamba.

Hamba mula bercadang untuk mengenakan tudung kepala semasa hamba hampir berusia 14 tahun. Sebelum itu, hamba memang tidak kisah langsung. Hamba selesa tanpa bertudung kepala, walaupun ibu dan kakak hamba sendiri bertudung. Arwah ayahanda hamba selalu memberikan 'hint' kepada hamba untuk bertudung, tetapi selalu sahaja hamba membiarkannya. Entah mengapa, pada satu hari setelah hamba pulang dari bermalam di sekolah kerana program qiamulail dan solat hajat sempena tahun peperiksaan PMR, hati hamba terpanggil untuk memakai tudung. Hamba jadi malu bila rambut dan kepala hamba kelihatan walaupun hamba sedang duduk di dalam kereta.

Oleh itu, untuk menenangkan jiwa hamba yang kegersangan, hamba mengambil keputusan untuk bertudung. Memang awalnya tidak sempurna. Baju berlengan pendek tetapi bertudung, cuma memang benar, jiwa hamba jadi lebih tenang. Semenjak itu, ia mengajar hamba untuk lebih berhati-hati memilih pakaian apabila keluar rumah. Kalau dulu hamba tidak kisah memakai seluar pendek dan T-shirt sahaja, kadang-kadang berbaju tidur sahaja untuk ke kedai. Langkah pertama hamba itu telah menerapkan sedikit demi sedikit sifat malu dalam diri.

Tetapi badai mula melanda diri lewat usia 16 - 19 tahun. Hamba jadi terlalu terpengaruh dengan media sosial yang dilihat menarik untuk menonjolkan diri, berkongsi gambar-gambar diri yang dirasakan 'comel'. Hamba terhanyut dan terlalai juga. Dalam usia hamba 18 tahun menginjak 19, hamba memasuki universiti untuk menuntut dalam bidang komunikasi massa. Pengaruh di sini juga cukup kuat sehingga kadang-kadang hamba terlalai dan mula meringankan kepentingan menutup aurat dengan sempurna :(

Itulah, kadang-kadang umur yang meningkat tua itu tidak menjanjikan kematangan yang sempurna. Tetapi akal dan hati yang digunakan untuk mengikut syariat itulah yang paling penting. Sekarang ini, hamba ingin sekali untuk menutup aurat dengan sempurna, walaupun masih tidak begitu sempurna, tetapi hamba ingin berusaha ke arah itu. Doakan hamba wahai pembaca sekelian. Hamba juga berharap agar setiap anak cucu Hawa ini akan mula mengambil serius perintah menutup aurat. Seriously, it's for our own good :)

Maafkan salah silap tutur hamba, sungguh, segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan segala kekurangan dan kelemahan datang dari hamba sendiri. Moga mendapat manfaat dari perkongsian ini. :)

No comments:

Post a Comment