Sunday, 19 May 2013

Keistimewaan bulan Rejab

Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). Kerana keagungan, kebesaran dan kemuliaan bulan Rejab itu maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya, dan kebajikanNya terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh pada bulan Rejab dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya. Demikianlah keistimewaan dan keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan 'Syahrullah' (bulan Allah).

Di antara rahmat Allah yang terbesar dikurniakan kepada hambaNya ialah dengan ditambahkan amalan-amalan seperti berpuasa pada siangnya dan mengerjakan sembahyang sunat yang tertentu di samping fardhunya dan banyak berzikir, berselawat, membaca al-Qur'an, beristighfar, mohon keampunan dan taubat dosa-dosanya yang lalu dan pada malamnya berjaga malam atau bangun tengah malam sembahyang sunat tahajud, sembahyang sunat tasbih, berzikir, beristighfar, berselawat, membaca al-Qur'an, berdoa dan sebagainya.

Pada bulan Rejab inilah dilipatgandakan pahalanya, dilipatganda keampunan dosa-dosanya dan dengan mudah mendapat keampunan dan taubat dari Allah, diangkat darjat keimanan oleh Allah di dunia, dan diangkat darjat yang tinggi baginya di dalam syurga di akhirat.

Sungguh beruntung sekali bagi hamba-hambaNya yang menggunakan kesempatan bulan Rejab ini dengan berlumba-lumba memperbanyak amal ibadat dalam hidupnya, yang merupakan satu rahmat Allah yang terbesar yang dianugerahkan kepada hambaNya, dengan mendapat keredhaanNya yang besar dan rugilah orang-orang yang ketinggalan.

Bulan Rejab ini adalah bulan kebajikan dan kebaikan Allah kepada hambaNya. Iaitu bulan yang diperintahkan supaya banyak berbuat amal ibadat, sembahyang fardhu dan sunat, bulan diperbanyakkan beristighfar memohon keampunan dan taubat ke hadrat Allah s.w.t.. Juga merupakan bulan Allah membuka pintu kebajikan dengan luas (banyak amal-amal kebajikan, serta besar pula anugerah balasannya yang tidak terhingga).

Sumber: Syiar Islam, 26 Ogos 2005 / 21 Rejab 1426

No comments:

Post a Comment