Salah satu sifat mazmumah yang amat dibenci oleh Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat 'ujub. 'Ujub dapat diertikan sebagai "menganggap dan melihat diri lebih dari orang lain." Iaitu menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, keimanannya, ibadahnya, atau lebih kekayaannya dari orang lain.
'Ujub ini merupakan sifat tercela. Ianya perlu segera dikikis dan dijauhi oleh umat Islam kerana ia boleh mendorong kepada berbagai-bagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sifat sombong, takabbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. ada bersabda yang bermaksud:
"Tiga perkara yang dapat merosakkan iaitu: Bakhil yang diturut, hawa nafsu yang diperturuti dan mengagumi diri sendiri." (HR. Baihaqi)
Ada berbagai-bagai jenis 'Ujub ini, di antaranya;
1. Bangga/kagum dengan kecantikan rupa paras, kegagahan atau suara yang merdu. Hal yang sedemikian perlu dijauhi kerana ia adalah sangat tercela. Menjauhinya hendaklah dengan kesedaran bahawa apa jua yang dibanggakan itu adalah anugerah dan ni'mat Allah yang perlu disyukuri. Seseorang itu dikatakan bersyukur apabila ia memanfaatkan apa jua anugerah Allahitu pada tempatnya yang wajar lagi diredhaiNya.
2. 'Ujub disebabkan ketinggian ilmu atau kecerdasan otak dan menganggap dirinya paling pandai dari semua yang lain. Sikap kesedaran bahawa ilmu yang kita miliki ini adalah masih terlalu sedikit. Kalau difikirkan, para ulama dan para intelektual lain adalah lebih dari itu. Dan perlu kita hayati firman Allah dalam surah al-Israa' ayat 85 yang bermaksud:
"...dan tidaklah kamu diberi ilmu, kecuali sedikit"
3. Ada pula 'ujub lantaran keturunan. Umpamanya seseorang itu bangga terhadap dirinya disebabkan berketurunan bangsawan, raja-raja, ulama, hartawan dan sebagainya. Sebenarnya semua itu tidak patut dibangga-banggakan. Bukankah Allah ada berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang maksudnya:
"...sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya."
Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Amalan kebaikan yang amat segera pahalanya ialah pemberian (bantuan) dan silaturrahim (tali persaudaraan)." HR. Ibn Majah
Sumber: Syiar Islam 4 Jun 2004 / 15 Rabiulakhir 1425
No comments:
Post a Comment