Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Hak seseorang Islam terhadap seseorang Islam yang lain ada enam perkara."
Sahabat bertanya:
"Apakah enam perkara itu wahai Rasulullah?"
Jawab baginda:
"Jikalau berjumpa hendaklah memberi salam, jikalau dijemput hendaklah diperkenankan, jikalau diminta nasihat hendaklah dinasihati, jikalau bersin; maka ia memuji Allah, hendaklah direstukan, jikalau dia sakit hendaklah diziarahi dan jikalau dia mati hendaklah diiringi jenazahnya ke tanah perkuburan."
Hadis ini jelas menunjukkan perhubungan antara sesama Muslim adalah sangat dituntut. Demi menjaga hubungan berkenaan, enam perkara dasar yang digariskan oleh hadis itu perlu diambil perhatian supaya hak antara Muslim dapat ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.
Memberi salam adalah hak dan kewajipan seseorang Islam yang perlu ditunaikan. Ucapan "Assalamualaikum" ialah ucapan yang maaruf. Ia disyariatkan oleh Islam supaya diamalkan ketika bertemu dengan seorang Islam, samada dikenali atau tidak dikenali, sahabat atau lawan. Sesetengah ulama mengatakan haram meniru cara agama lain atau adat resam agama lain untuk digunakan di dalam Islam. Pendapat ini berdasarkan hadis yang bermaksud:
"Barangsiapa yang meniru dan mencontohi satu-satu kaum, maka ia dianggap daripada kaum itu."
Untuk menguatkan larangan itu, ia diperkukuhkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir yang bermaksud:
"Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah kamu ucapkaan salam hormat (kepada sesama kamu) sebagai salam hormat orang Yahudi. Salam hormat mereka dengan cara menundukkan kepala dan mengangkat tangan dan kadang-kadang dengan isyarat."
Mengikut sesetengah ulama, adalah harus bagi orang yang jauh atau di tempat yang sibuk dan bising, melakukan isyarat yang munasabah yang memberi erti salam hormat secara Islam sebagai mengganti ucapan. Harus dilakukan dengan cara yang munasabah seperti salam hormat kepada orang yang bisu, pekak dan seumpamanya iaitu dengan cara yang berlainan dari isyarat atau amalan orang kafir.
Salam adalah lambang perpaduan di dalam Islam. Memulakan salam adalah sunat, manakala hukum menjawab salam adalah wajib. Walaubagaimanapun memulakan salam adalah lebih afdhal daripada menjawabnya. Islam menuntut umatnya supaya memulakan salam sebelum berbual atau bercakap berpandu kepada hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi yang bermaksud:
"Berucap salam sebelum bercakap."
Yang paling baik lagi ialah disertakan dengan berjabat tangan antara satu sama lain yang menunjukkan betapa eratnya perhubungan persaudaraan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Tidaklah dua orang Islam yang berjumpa dan berjabat tangan kedua-duanya melainkan diampunkan kedua-duanya sebelum mereka berpisah."
Sumber: Syiar Islam, 2 Mei 2003 / 30 Safar 1424
--------------------------------------------------
Pesanan hamba...
Berjabat antara sesama jantina sahaja ya. Bukanlah lelaki menjabat tangan wanita dan wanita menjabat tangan lelaki pula.
No comments:
Post a Comment