Hidup kita di dunia ini tidak lebih daripada sebagai pengembara yang sedang berteduh di sebatang pokok di tengah padang pasir yang luas; selepas itu kita akan berlalu meninggalkannya. Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Hidup aku di dunia ini diibaratkan seorang pengembara berada di atas kenderaan, kemudian berhenti berteduh di bawah pokok yang rendang, kemudian aku berlalu."
Hidup kita di dunia ini tidak lebih daripada untuk menerima ujian Allah untuk mengukur setakat manakah ketaqwaan kita terhadap Allah. Kita tidak dapat membuktikan diri kita sebagai seorang yang bertaqwa sekiranya kita tidak diuji dengan berbagai ujian dan cubaan yang sebahagian besarnya adalah perkara-perkara yang tidak diingini oleh nafsu manusia.
Sekiranya ada orang yang mengatakan bahawa kekayaan itu merupakan matlamat hidupnya di dunia ini, itu adalah salah, kerana kekayaan tidak dapat melahirkan kesejahteraan bagi seseorang. Kadangkala harta kekayaan itu akan lari dan lesap dalam masa sehari.
Sekiranya ada orang mengatakan bahawa kecantikan adalah matlamat hidupnya di dunia, maka itu juga salah, kerana kecantikan akan luntur dan hilang apabila sampai masanya, bahkan boleh lari daripada seseorang itu dalam satu hari.
Sekiranya ada orang yang beranggapan bahawa pangkat, darjat dan pengaruhnya boleh mencapaikan matlamat hidupnya, maka itu juga salah, kerana pangkat, darjat dan pengaruh yang besar berkemungkinan akan hilang dan lari daripadanya dalam masa yang singkat.
Sebenarnya yang kekal abadi dalam hidup kita di dunia ini ialah keredhaan Allah s.w.t.
Oleh yang demikian, maka fahamilah bahawa hidup kita di dunia ini ialah sementara sahaja dan akhirat juga yang akan kekal selama-lamanya.
Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.
"Barangsiapa yang bersembahyang dalam dua waktu dingin (Subuh dan Isya'), maka ia dapat masuk syurga."
Sumber: Syiar Islam, 1 Ogos 2003 / 3 Jamadilakhir 1424
No comments:
Post a Comment