Thursday, 16 May 2013

Ibadah Bulan Rejab (sambungan)

iv) Allah s.w.t menyediakan balasan ni'mat yang khusus bagi mereka yang berselawat ke atas baginda Rasulullah s.a.w. pada bulan Rejab. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud:

"Pada malam Mikraj saya melihat sebatang sungai, airnya lebih manis daripada madu, lebih sejuk daripada salji dan lebih harum daripada minyak misk. Saya telah bertanya kepada Jibril; Untuk siapa (sungai) ini? Ia menjawab; 'Bagi orang yang berselawat ke atasmu pada bulan Rejab."

 v) Setiap orang akan berasa lapar pada hari kiamat kelak, kecuali nabi-nabi dan keluarganya juga orang yang berpuasa di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Sayyidatina A'ishah ada mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud:

"Semua manusia dalam keadaan lapar pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka juga orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Sesungguhnya mereka dalam keadaan kenyang, tidak, tidak lapar dan tidak haus."  

vi) Mereka yang menghidupkan Rejab dengan beribadah akan mendapat balasan di akhirat kelak. Cahaya Rejab kelihatan pada mereka yang berbuat demikian menyebabkan mereka dapat dikenali. Mereka juga dapat melintasi siratal-mustaqim seumpama laluan kilat. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud:

"Apabila datang hari kiamat, maka ada suara memanggil; 'Di mana para ahli Rejab? Maka terpancarlah sinar, diikuti Jibril dan Mikail a.s. cahaya itu yang diikuti oleh para ahli Rejab. Kemudian mereka semua lalu di atas siratal-mustaqim seperti kilat yang menyambar. Kemudian mereka semua sujud bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat melintasi sirat tadi. Allah Taala berkata: Wahai ahli Rejab, angkatlah kepala kamu semua, kamu telah sempurnakan sujud di dunia pada bulanKu, lalu mereka pergilah ke tempat masing-masing."

Baginda Rasulullah s.a.w. menggesa umatnya agar memperbanyak taubat serta menjauhkan maksiat, di samping melakukan ibadah yang disebutkan di atas tadi pada bulan tersebut. Baginda bersabda:

"Bertaubatlah kamu kepada Tuhan kamu, dan minta ampunlah kamu daripada segala dosa dan jauhilah maksiat, pada bulan haram, iaitu bulan Rejab."

vii) Barangsiapa yang menginginkan keringanan ketika menghadapi sakaratulmaut, terpelihara daripada godaan iblis dan syaitan ketika menghadapi maut, ia hendaklah menghormati bulan-bulan haram yang termasuk di dalamnya bulan Rejab. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud:

"Andainya kamu semua hendakkan keringanan pada saat kematian daripada dahaga dan keluar bersama iman, juga terselamat daripada tipu daya syaitan, maka hormatilah bulan-bulan ini semuanya dengan memperbanyak puasa dan menyesali terhadap perkara yang telah lalu daripada dosa-dosa dan ingatlah selalu kepada Allah s.w.t. yang mencipta, nescaya kamu masuk syurga Tuhan kamu dengan sejahtera."

Sumber: Syiar Islam, 12 Ogos 2005 / 7 Rejab 1426

No comments:

Post a Comment