Kebanyakan masyarakat kita orang Islam menganggap menderma atau bersedekah pada hari ini hanyalah satu pemberian yang tidak mendatangkan apa-apa di sisi Allah s.w.t.. Sebab itulah maka setiap sedekah dan derma itu digembar-gemburkan untuk pengetahuan masyarakat dengan tujuan tertentu. Kejadian seumpama itu amat jelas berlaku di mana-mana. Setiap derma dan sedekah tidak akan meriah tanpa kerlipan lampu kamera dan tidak akan bermakna kiranya tidak berlaku di khalayak ramai, sedangkan menurut Islam, derma atau sedekah seperti itu menjadi sia-sia.
Setiap sedekah atau derma hendaklah dilakukan dalam keadaan senyap atau dalam ertikata lain, tanpa pengetahuan orang ramai. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda berhubung dengan sedekah ini yang bermaksud:
"Sesungguhnya di bawah teduhan Arasy pada hari tidak ada teduhan melainkan teduhan Allah ialah seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya lalu disembunyikannya sedekah itu sehingga tidak diketahui oleh tangan kirinya."
Setiap sedekah yang diberikan seboleh-bolehnya janganlah diketahui oleh orang lain, walaupun orang yang sangat dekat dengan kita. Malangnya apa yang berlaku sekarang ini, khasnya dalam kalangan umat Islam, setiap sedekah dan derma yang diberikan diiringi dengan sikap takabur dan bongkak. Sedekah yang diberikan dengan tujuan untuk mencari nama amat nyata adalah dikeji oleh Allah s.w.t..
Sehubungan ini juga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
"Tiga golongan manusia yang didapati pada hari kiamat bahawa Allah s.w.t. tidak akan bercakap dan melihat mereka serta tidak membersih mereka, malahan bagi mereka azab yang pedih, mereka itu ialah orang yang memberi sedekah dan membangkit-bangkitkan tentang pemberiannya, orang yang melabuhkan pakaiannya ke bawah buku lali dan orang yang melakukan barang jualan dengan sumpah bohong."
Maka jelaslah bagi kita bahawa setiap sedekah yang diberi dengan tujuan mencari nama dan mengungkit kembali pemberiannya, maka golongan yang berbuat demikian akan mendapat azab yang sangat pedih di akhirat kelak.
Sumber: Syiar Islam, 12 Mac 2004 / 20 Muharam 1425
No comments:
Post a Comment