Monday, 22 April 2013

Jangan tangguhkan amal hari ini ke esok hari...

Manusia kerap bersikap lalai dan cuai, sering suka meminta tempoh ataupun suka menangguhkan kerja hari ini ke hari esok. Sikap ini harus dijauhi, kerana ia amat merugikan. Tangguh punya tangguh sehingga akhirnya terlambat. Masanya pun sudah habis.

Jika perkara yang ditangguhkan itu perkara dunia, kesallah kerana mungkin apa yang dicita-citakannya itu tidak akan tercapai. Meskipun demikian, segala apa yang terlepas dari urusan dunia itu masih boleh diurus semula dan boleh dicari gantinya. Andaikata perkara yang ditangguhkan itu perkara akhirat, sehingga ajal pun sudah menunggu di pintu rumah, maka perkaranya sudah tidak berguna untuk dikesalkan lagi. Kerana masa yang telah luput itu tidak boleh diganti lagi ataupun dibeli walaupun dengan harta berguni-guni.

Meskipun setiap amal yang luput itu boleh diqhadakan pada waktu yang lain, namun penunaiannya bukan pada waktunya itu tidaklah sesempurna ia ditunaikan pada waktu yang ditentukan itu. Tambahan pula siapa yang dapat menjamin dirinya bahawa ia akan terus hidup hingga ke masa yang hendak diqhadakan itu? Mungkin malaikat Izrail telah tiba terlebih dahulu sebelum tibanya masa yang ditunggu. Oleh kerana itu segala amal yang disyariatkan itu hendaklah ditunaikan dalam masa yang tertentu dan tidak boleh dilengahkan lagi.

Tegasnya cara yang sebaik-baiknya hendaklah kita sentiasa menunggu tibanya ajal, dan anggaplah ia berada di hadapan mata kita. Lantaran itu kita akan terus berzuhud di dalam dunia dengan tidak menjadikan urusan dunia itu perkara yang utama, dan apa yang kita ambil hanyalah sekadar keperluan sahaja.

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w.:
"Apabila seorang lelaki memberikan nafkah kepada keluarganya atau siapa saja yang menjadi tanggungannya dengan niat mendapat keredhaan Allah, maka ianya akan tercatat sebagai amal sedekah untuknya."

Sumber: Syiar Islam, 17 September 1999 / 7 Jamadilakhir 1420

No comments:

Post a Comment