Diriwayatkan oleh Abu Utbah dari Abu Hurairah r.a. katanya, telah memberitahu kami Anas bin malik bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya apabila kamu bersedekah kepada orang yang mati di antara kamu, maka malaikat akan bawa sedekah itu dalam talam cahaya. lalu malaikat itu pergi ke kubur orang yang berkenaan, dan malaikat itu berseru: Wahai ahli kubur yang gharib (bagaikan perantau), bahawa anak-anak atau saudara mara kamu telah menghadiahkan sesuatu kepadamu, maka kamu terima pemberian mereka itu. Maka jawab ahli kubur itu, semoga Allah s.w.t. memberi balasan dengan sebaik-baik balasan kepada kaum keluarga dan saudara mara yang telah memberiku hadiah."
Anak-anak yang soleh dan juga keluarga yang hidupnya sentiasa bertaqwa, adalah ibarat ganjaran pencen bagi orang yang telah bersara, mereka meni'mati pencen walaupun dia sudah tidak bekerja lagi.
Bagi orang yang tidak mempunyai anak-anak yang soleh, ibarat orang yang telah berusia tua dan terlalu uzur, sehingga tidak dapat lagi berusaha, dan lebih malang lagi mereka tidak mempunyai pencen yang boleh membantu hidupnya ketika itu. Semata-mata hanya bergantung kepada bekalan yang tidak mencukupi.
Jika anak yang soleh itu ibarat pencen yang akan diterima terus-menerus, maka jadikanlah diri sebagai harta pencen untuk ibu bapa yang sudah mati. Seperti yang dinyatakan, bahawa sebagai anak yang soleh hendaklah sentiasa melafazkan doa untuk kedua ibu bapa tersayang. Sekalipun doa itu hanya beberapa patah ucapan yang ringkas misalnya:
Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, juga kepada orang yang telah menolongku, serta sekalian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah mati.
Bagi orang yang hendak bersedekah dengan harta benda, dan mengharapkan agar pahalanya dihadiahkan kepada mereka yang telah mati, maka terpulanglah untuk berbuat kebaikan. Tetapi yang paling mudah serta tidak perlu mengeluarkan belanja wang ringgit ialah berdoa. Segala doa itu sudah pasti sampai kepada orang mati yang ditujukannya itu, memang demikianlah janji Allah Taala.
Sumber: Syiar Islam, 20 Januari 2006 / 20 Zulhijjah1426
--------------------------------------------------------------
Terkesan juga pada diri hamba dengan artikel yang hamba kongsikan ini. Ayah hamba sudah kembali ke rahmatullah 9 tahun yang lalu. Iaitu pada tahun hamba mengambil peperiksaan PMR, selang seminggu lebih sebelum peperiksaan itu. Hamba merasakan bahawa dugaan itu sangat hebat. Tetapi alhamdulillah hamba tidak hilang akal kerana kesedihan, kekesalan dan sebagainya. Hari-hari yang hamba lalui ketika itu, meskipun berendam air mata bila terbayangkan membuatkan hamba rasa tidak sanggup untuk kehilangan lagi. Pada hemat hamba, biarlah hamba yang dijemput menyusul ayahanda, bukan orang lain yang hamba sayang.
Hamba akui, ada waktu-waktu hamba bersahabat dengan syaitan. Hamba melanggar perintah Allah dan melakukan larangan-Nya. Pasti syaitan suka waktu itu. Tetapi bila mengingatkan kembali bahawa hamba ada seorang yang perlu hamba ingat di alam sana, menjadikan hamba ralat untuk mengulangi salah silap hamba. Ya Allah, tunjukkanlah kepada hamba dan pembaca-pembaca budiman hamba ke jalan yang lurus. Jadikanlah kami pencen yang bermanfaat untuk kedua ibu bapa kami dan berikanlah pula kami pencen yang bermanfaat daripada kami dan pasangan kami (yang telah berkahwin).
Semoga bermanfaat perkongsian kita pada hari ini. Maafkan salah silap hamba, sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari diri hamba sendiri.
No comments:
Post a Comment