Dari Anas r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Setiap harta yang dinafkahkan itu kesemuanya dikira fisabilillah kecuali harta yang dibelanjakan untuk membina rumah, tiada kebajikan padanya."
Berdasarkan hadis tersebut sudah nyata bahawa setiap ringgit yang dinafkahkan merupakan kebajikan yang tidak boleh dipertikaikan, sama ada ia dibelanjakan untuk memberi makanan, pakaian, pelajaran untuk anak-anak dan juga keluarga, ia dianggap sebagai berbelanja ke jalan Allah. Apatah lagi jika harta itu didermakan untuk meninggikan dan memperjuangkan agama Allah, yang demikian amatlah nyata sebagai usaha fisabilillah.
Bagaimanapun di dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w. menyifatkan bahawa harta yang dibelanjakan secara habis-habisan untuk membina rumah, dianggap sebagai tidak ada kebajikan.
Sesungguhnya rumah adalah keperluan hidup manusia, lantaran itu memenuhi keperluan tersebut sebagai ikhtiar manusia untuk berlindung dari panas dan hujan tidaklah bercanggah dengan Islam. Manusia dijadikan oleh Allah s.w.t. ibarat singgah sejenak di dunia dalam perjalanannya menuju destinasi kehidupan yang sebenar iaitu akhirat.
Oleh kerana manusia diciptakanbukan untuk menjadi warga dunia untuk selamanya, maka sudah pasti keperluan rumah itu mestilah disesuaikandengan tujuan sebenar hidup manusia yang diciptakan untuk berbakti kepada Allah s.w.t.
Sifat manusia yang sering lalai merasakan bahawa kehidupan di dunia begitu abadi buat dirinya. Lantaran itu, sebahagian besar dari kalangan manusia telah berusaha mengumpul wang ringgit, berbelanja habis-habisan untuk membina rumah kediaman bagai mahligai dengan bahan binaan ang mahal, batu marmar bernilai tinggi yang diimport dari luar negeri. Dibina tembok berlapis untuk memagari rumah besar mereka serta pintu pagar elektronik yang canggih, bukan sekadar penceroboh sukar memasukinya malah tetamu pun tidak mudah untuk singgah.
Lazimnya rumah besar seperti itu agak sulit bagi menawarkan sebarang khidmat untuk golongan fakir miskin, jauh sekali untuk meraikan golongan malang untuk singgah, bagi memberi peluang mereka berteduh menghilangkan rasa lapar, atau untuk mengadukan berbagai masalah.
Itulah jenis rumah yang tidak mendatangkan kebajikan kepada pemiliknya, malah mungkin ia akan menjadi beban yang tidak akan tertanggung apabila tibanya hari perhitungan di Padang Mahsyar kelak. Wang yang dibelanjakan untuk pembinaan rumah seperti itu dianggap wang yang telah mati, tidak dapat dikembangkan.
Apabila rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa harta yang dibelanjakan untuk pembinaan rumah itu tidak berkebajikan, bukan bererti semua rumah tidak dapat dimanfaatkan. Jika rumah digunakan untuk tujuan yang ma'ruf, selain dari keperluan tetapi juga untuk memberikan penginapan kepada rakan taulan yang memerlukan, atau mengadakan jamuan untuk mengeratkan silaturrahim antara jiran tetangga dan anggota masyarakat. Apatah lagi jika digunakan untuk majlis ilmu dan tazkirah bagi membentuk masyarakat Islam yang baik, sudah tentu memberikan kebajikan kepada pemiliknya.
Kesederhanaan dalam menyediakan tempat tinggal adalah lebih menepati kehendak Islam. Islam juga menganjurkan setiap orang yang beriman agar mereka sentiasa berusaha menghindari sesuatu yang tidak mendatangkan sebarang manfaat buat dirinya, lebih-lebih lagi perkara yang mendatangkan bencana besar di akhirat seperti pembinaan rumah atau pembelian yang berasaskan riba.
----------------------------------------------------------------------
Fadhilat membaca Surah Hud:-
"Barangsiapa membacanya, nescaya ia akan mendapat kekuatan dan kehebatan serta ketenangan dan ketenteraman jiwa."
"Barangsiapa membaca ayat 56 dari surah ini pada setiap masa, nescaya ia akan terselamat dari gangguan manusia yang jahat dan binatang yang liar."
Maksud ayat 56 Surah Hud:
Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus. (Maksudnya; Allah selalu berbuat adil)
"Barangsiapa membaca ayat 112 dari surah ini sebanyak 11 kali selepas tiap-tiap sembahyang, nescaya akan mencapai ketetapan hati."
Maksud ayat 112 Surah Hud:
Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaiman diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Sumber: Syiar Islam, 22 Julai 2005 / 15 Jamadilakhir 1426
No comments:
Post a Comment