Lidah boleh mendatangkan kebaikan dan boleh juga mendatangkan keburukan, sebab itulah dalam suatu hadis Rasulullah s.a.w. telah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, iaitu perkara baik dan perkara buruk. Ketika menerangkan sabdanya kepada Mu'az, Baginda telah memegang lidahnya sambil berkata: Jagalah ini baik-baik.
Rasulullah s.a.w. telah berpesan kepada Mu'az supaya ia memelihara lidah, jangan sampai berbicara melainkan yang baik-baik sahaja, kerana bencana lidah itu amat berat sekali. Kerana lidahlah badan menerima bencana.
Dalam sebuah hadis yang lain, pernah Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berkata baik atau berdiam diri sahaja."
Lalu Mu'az bin Jabal r.a. bertanya kepada Nabi s.a.w., katanya:
"Duhai Nabiullah, apakah kami akan dituntut atas tutur bicara kami? Baginda lalu menjawab:
Moga-moga Allah peliharakan engkau. tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur bicaranya sendiri."
Demikian berat sekali bencana lidah itu, sehingga boleh menyebabkan tuannya terjerumus ke dalam api neraka disebabkan peranannya. lantaran itu seharusnya kita memelihara lidah kita dari berkata kotor atau berbicara yang tidak perlu, kerana di sampingnya selalu ada bahaya yang menunggu. Alangkah mudahnya lidah itu membuat bencana tanpa sempat kita menahannya.
Oleh itu Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Jagalah lidahmu kecuali bila berkata yang baik. Dengan berlaku demikian engkau akan mengalahkan syaitan."
Dalam mensifatkan peranan lidah, Imam Ghazali berkata: Ketahuilah bahawa bahaya lisan (lidah) itu besar sekali, dan manusia tidak akan selamat dari bahaya ini, melainkan dengan bertutur kata yang baik sahaja.
Fadhilat Membaca Surah al-An'am (Binatang Ternakan)
"Barangsiapa membacanya sebanyak 7 kali, nescaya akan terhindar dari segala bencana."
"Jika ayat 63 dan 64 dari surah ini dibaca oleh penumpang kapal, ia akan terselamat dari karam dan tenggelam."
Maksud ayat 63 dan 64 Surah al-An'am:
Katakanlah: "Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut, yang kamu berdoa kepada-Nya dengan berendah diri dengan suara yang lembut (dengan mengatakan): 'Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami dari (bencana) ini, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur'."
Katakanlah: "Allah menyelamatkan kamu daripada bencana itu dan dari segala macam kesusahan, kemudian kamu kembali mempersekutukannya."
Sumber: Syiar Islam, 6 Mei 2005 / 27 Rabiulawal 1426
No comments:
Post a Comment