Monday, 15 April 2013

Mencuri Tulang Perbuatan Khianat!

Tiga perkara yang boleh mendatangkan kesan buruk dan kekecohan dalam sesebuah organisasi mahupun sebuah negara adalah disebabkan:

1) Kurang tanggungjawab terhadap tugas yang telah diamanahkan

2) Suka membuang masa dan bersembang serta bercakap perkara yang sia-sia

3) Suka melengah-lengahkan kerja

Sikap tidak bertanggungjawab, suka meninggalkan kerja hingga membabitkan orang lain adalah perbuatan khianat. "Curi tulang" adalah amalan orang malas yang sentiasa mengharapkan pertolongan orang lain. Sedangkan mereka telah banyak menyelewengkan masa, kesannya apabila kesuntukan masa orang lain pula yang akan mendapat susah dan dipersalahkan kononnya tidak memberi kerjasama. Sebaliknya menimbulkan kekecohan, kemarahan dan sebagainya. Sabda Nabi s.a.w.:

"Dilaknat Allah siapa-siapa yang menyusahkan orang-orang mukmin atau mengecohkannya."

Kelembapan sesebuah operasi adalah berpunca daripada pengabaian tanggungjawab mereka yang bersikap gemar 'mencuri tulang', suka menangguhkan kerja yang sedikit menjadi banyak, mengabaikannya hingga tidak terlaksana, dan kesudahannya orang lain yang menjadi mangsa. Perbuatan mereka yang suka membuli, bukannya Allah tidak membalas mereka, sebaliknya Allah menangguhkan agar mereka berterusan membuat dosa dan azab menunggu mereka sepertimana firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 178 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka hanyalah supaya bertambah-tambah dosa mereka, dan bagi mereka azab yang menghinakan."

Allah membiarkan mereka ini berterusan mengumpul dosa, kerana mereka menyangka perbuatan mereka itu betul dan tidak akan menerima pembalasan di akhirat nanti, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Qiamah ayat 36 yang bermaksud:

"Patutkah manusia menyangka bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?"

Ini bererti mereka yang suka membuli dengan mengharapkan tenaga orang lain hanya mampu berbangga, bermegah, dan gembira di dunia, akan tetapi hina dan muflis (bankrap) di akhirat akibat mereka berhutang kepada orang yang dikhianatinya (dianiaya) di dunia dahulu akibat tipu daya mereka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak memikirkan kesudahan kehidupan mereka di akhirat.

Sumber: Syiar Islam, 26 Mac 2004 / 5 Safar 1425
-------------------------------------------------------
Kata hamba...

Wow, hamba rasa memang 'hot' betul perkongsian hamba hari ini. Curi tulang boleh dikatakan memang banyak wujud, ini sangat menyedihkan. Kalau nak bersangka baik bolehlah difikirkan bahawa si pencuri tulang mempunyai agenda baik yang tersembunyi dari perbuatannya. Mungkin dia ingin mengajar kita berdikari, mungkin dia mempunyai sangat banyak kerja lain sehingga terpaksa meninggalkan kerja yang berkaitan itu, mungkin dia mempunyai masalah yang harus diselesaikan segera. Dan pelbagai lagi perkara lain.

Tetapi itu memang mudah diperkatakan bagi pihak yang hanya melihat. Bagi pihak yang melaluinya, terasa terlalu perit dan sungguh tidak adil. Sehingga harus selalu mengingatkan diri bahawa balasan bukan kita yang beri tetapi semuanya akan diadili seadil-adilnya oleh Allah s.w.t. Selalu cuba untuk dihimpit buang rasa benci sesama manusia bila berhadapan kes curi tulang ini. Sesiapa yang tidak pernah melalui tidak akan merasai konflik-konflik diri tersebut. Oleh itu, cubalah memahami jika ada rakan anda yang hampir putus asa bila dihimpit kes curi tulang sehingga menjadikan dirinya teraniaya.

Bagi si pencuri tulang, tolonglah berhenti dari perbuatan keji ini. Ianya tidak membawa sebarang kebaikan. Walau gaji berkepuk-kepuk, penuh poket, boleh makan 'lobster' setiap hari pun tak guna jika kerja main curi tulang. Hilang berkat. Kalau ada anak lagilah sedih, memberi makan mereka hasil yang diperolehi melalui jerih payah titik peluh orang lain yang menyelesaikan kerja anda. Di mana berkatnya? Di mana kehalalan rezeki yang diperolehi tanpa usaha itu?

Sedarlah, anda masih boleh berubah, anda masih boleh memperbaiki diri. Jangan tunggu sampai sudah dibangkitkan dari kubur barulah ingat dosa mencuri tulang dalam pekerjaan anda dahulu. Tak rugi pun kerja bersungguh-sungguh.

Harap perkongsian hari ini memberi kesedaran dan manfaat untuk kita semua. Mari perbaiki diri. Maafkan kekasaran kata-kata hamba. Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu adalah dari diri hamba sendiri.

Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment