Friday, 19 April 2013

Ikhlas Cerminkan Kebersihan Hati

Ramai orang mengaku setiap yang dibuat dan dicakapkannya adalah ikhlas, tetapi apakah benar pengakuannya? Sebenarnya apa yang diakuinya itu tidak menjadi ikhlas lagi kerana ikhlas itu adalah perbuatan hati, dan setiap kelakuan mencerminkan apa yang tercorak di dalam hatinya. Secara tidak langsung orang yang mengatakan ikhlas itu adalah memperlihatkan niat sebaliknya. Mungkin ucapan ikhlas itu menjadi lawan ikhlas iaitu riya'.

Allah menghendaki niat dan maksud serta tujuan manusia berkata dan berbuat sesuatu adalah kerana Allah jua, bukan kerana yang lain. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

"Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalannya."

Ini disebabkan niat adalah amalan hati, sedang hati pula adalah anggota yang paling mulia di tubuh manusia. Sebab itulah amalan hati itu lebih baik daripada amalan anggota. Ini disebabkan niat sahaja di dalam hati sudah menghasilkan manfaat jua.

Orang yang benar-benar ikhlas ialah mereka yang beribadat hanyalah kerana Allah, tugasnya hanya terhadap Allah, mendampingkan dirinya kepada Allah, menghambakan diri semata-mata kerana Allah dan melenyapkan kepentingan diri di bawah kebesaran Allah. Mereka tidak berdalih atau berpura-pura dalam menjalankan kewajipan terhadap Allah, seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Baiyinah ayat 5 yang bermaksud:

"Mereka tidaklah diperintahkan melainkan beribadah kepada Allah s.w.t. dalam keadaan mengikhlaskan ibadat kepadaNya."

Orang yang ikhlas menjalankan urusan untuk orang ramai sering memperalatkan dirinya untuk mencapai faedah umum dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Mereka tidak mahu pujian dan tidak sekali-kali untuk faedah diri sendiri. Mereka tidak kecewa sekiranya gagal dalam usaha baik dengan niat ikhlas itu. Biarlah amal ibadat itu sedikit, tetapi dengan jujur dan ikhlas seperti mana Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

"Ikhlaskan amal itu, cukup walau sedikitpun."

Sebenarnya, ikhlas itu sebagai kunci yang menutup rapat pintu-pintu yang boleh dicerobohi syaitan dan iblis. Ini diakui sendiri oleh iblis ketika Allah mengutuknya, seperti yang tersurat di dalam Al-Qur'an Surah Al-Hijr ayat 39 dan 40 yang bermaksud:

"Iblis berkata, wahai Tuhanku, oleh kerana Kamu sesatkan daku, maka aku akan hiasi kejahatan kepada mereka itu di dunia dan aku akan sesatkan mereka sekalian, kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka."

Oleh itu, selama ikhlas menghuni tetap di dalam hati, selama itu pula syaitan tidak berdaya merempuh masuk ke dalamnya. Ini menunjukkan bahawa ikhlas itu memperkuat diri daripada gangguan syaitan dan terhindar daripada penyakit-penyakit rohani.

Sumber: Syiar Islam, 23 April 2004 / 3 Rabiulawal 1425

No comments:

Post a Comment