Menyangka buruk terhadap orang lain adalah haram, dan samalah seperti haramnya melemparkan kata-kata keji terhadapnya. Apa yang dimaksudkan dengan sangkaan buruk itu ialah sesuatu yang disimpulkan oleh hati, kemudian dilemparkan ke atas orang lain menerusi sangkaan yang buruk.
Segala yang terlintas di dalam hati, ataupun yang dibicarakan di dalam diri, maka yang demikian itu adalah dimaafkan. Tetapi yang dilarang dengan keras ialah menyangka yang bukan-bukan. Dan sangkaan itu diumpamakan dengan sesuatu yang dirasa tenang oleh jiwa dan dicenderungi oleh hati.
Setiap sangkaan adalah diharamkan kerana segala rahsia hati tiada siapa yang mengetahuinya, melainkan Allah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Oleh itu tidak wajarlah mempercayai adanya sesuatu keburukan di dalam hati seseorang, melainkan setelah ternyata kepadamu keburukannya, yang mana disaksikan sendiri dengan mata kepala tanpa perantaraan orang lain.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Hujurat ayat 6, yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika sekiranya ada seorang fasiq membawa suatu berita kepada kamu, maka hendaklah kamu menyelidikinya terlebih dahulu, agar kamu tiada mencela sesuatu kaum tanpa usul periksa."
Sabda Nabi s.a.w. dalam suatu hadis bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah mengharamkan darah seorang Muslim serta harta bendanya, dan menyangka terhadap dirinya dengan sangkaan buruk."
Maksud hadis Rasulullah s.a.w.:
"Tidak bakal masuk syurga orang yang suka menghasut." (HR Sahih Muslim)
Sumber: Syiar Islam, 23 Julai 2004 / 5 Jamadilawal 1425
No comments:
Post a Comment